Art Detail | Ilham Gallery
Untitled (The Babysitters)
 TAMBAH KE ALBUM
Untitled (The Babysitters)
c. 1950s

Dalam lukisan Untitled (The Babysitters) ini, Cheong Soo Pieng memaparkan sebuah pemandangan kampung yang indah. Latar tempatnya kemungkinan besar ialah rumah panjang – tempat tinggal tradisional yang biasanya didiami orang asli di Borneo. Rumah panjang boleh memuatkan banyak keluarga, dengan setiap keluarga memiliki bilik peribadi mereka sendiri dan berkongsi ruang serambi dengan keluarga-keluarga lain. Cheong Soo Pieng melawat rumah panjang orang Dayak di Borneo Utara pada tahun 1960 dan pengalaman itu banyak mempengaruhi praktis seninya. Tajuk karya ini menunjukkan bahawa ‘pengasuh-pengasuh kanak-kanak’ tersebut bukanlah ibu kandung kepada kanak-kanak itu tetapi barangkali jiran-jiran yang sama-sama tinggal di rumah panjang. Apabila dilihat pada hari ini, lukisan ini membangkitkan rasa nostalgia kepada suasana komuniti yang lebih intim dan saling tolong menolong. 


Dalam karya ini, warna kelabu yang monoton diimbangi oleh tompokan-tompokan merah yang diletak secara strategik serta corak-corak berwarna-warni pada kain sarung yang dipakai oleh wanita-wanita tersebut. Tompokan-tompokan warna terang ini membayangkan kemeriahan kehidupan di rumah panjang, walaupun dalam persekitaran sehari-hari yang nampak biasa. Pelukis ini menggabungkan teknik lukisan dakwat Cina dengan gaya lukisan moden.


Maklumat
Media:
Dakwat Cina atas kertas
Dimensi:
44 cm × 29.5 cm
Tarikh:
c. 1950s
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Cheong Soo Pieng
Tentang Cheong Soo Pieng

Cheong Soo Pieng (l. 1917, Amoy, Cina — m. 1983, Singapura) merupakan salah seorang pelopor gaya seni Nanyang yang menggabungkan kaedah-kaedah lukisan Barat dan Timur untuk melukis bahan-bahan subjek yang diilhamkan oleh alam dan persekitaran di Asia Tenggara. Dilahirkan dan dibesarkan di Xiamen, China, beliau menerima pendidikan seni di Xinhua Academy of Fine Arts di Shanghai. Pada tahun 1946, beliau berhijrah ke Singapura dan ditawarkan jawatan pensyarah di Nanyang Academy of Fine Arts yang baru ditubuhkan. Beliau mengajar selama 20 tahun di akademi tersebut dan memberi pengaruh kepada para pelajar dan juga rakan-rakannya. Dua siri kembara yang beliau lakukan ke sekitar Nusantara memberi kesan yang besar terhadap perkembangan gaya seni lukisannya: lawatan ke Bali, Indonesia pada tahun 1952 dan ke Borneo pada tahun 1959. Penduduk desa dan orang asli di Indonesia dan Borneo menjadi bahan subjek yang paling kerap beliau paparkan dalam karyanya dan beliau selalu melukis mereka dengan anggota badan yang lonjong dan mata berbentuk badam.

Bacaan Selanjutnya

Bahagian Pembelajaran

  • Terangkan tentang orang yang terdapat di dalam lukisan ini. Bagaimanakah cara mereka berpakaian? Apakah yang sedang mereka lakukan? Seperti apa gerangan orangnya? Adakah mereka gembira? Adakah mereka kaya? Adakah hidup mereka senang atau susah? Apakah harapan mereka untuk masa depan?

  • Terangkan cara penggunaan warna di dalam lukisan ini. Terdapatkah warna-warna yang lebih dominan? Apakah warna-warna lain yang digunakan dan di mana? Bagaimanakah pula cara penggunaan garisan dalam lukisan-lukisan ini? Dapatkah anda lihat tanda-tanda yang dihasilkan oleh seniman ini? Bagaimanakah cara anda menerangkan tentang mereka? Apakah suasana keseluruhan lukisan ini?

  • Lukisan ini menghasilkan sebuah gambar tentang sebuah masyarakat yang tinggal bersama dan saling bergantung antara satu sama lain. Sejauh manakah semangat kemasyarakatan masih wujud dalam masyarakat Malaysia pada hari ini? Adakah peristiwa-peristiwa yang terjadi sejak kebelakangan ini menggambarkan bahawa rakyat Malaysia memiliki semangat kemasyarakatan yang kuat atau adakah rakyat Malaysia sudah semakin mementingkan diri sendiri? Adakah dunia di luar sana juga sedemikian?