Art Detail | Ilham Gallery
Tidur Punya Ralit Bom Meletup Pun Tak Sedar
 TAMBAH KE ALBUM
Tidur Punya Ralit Bom Meletup Pun Tak Sedar
1983

Dalam karya fotografi yang dicetak secara manual ini Ismail Hashim merakamkan sebuah suasana yang biasa tetapi intim berhubung dengan kehidupan sehari-hari di rumah. Karya ini memaparkan serentak detik seharian yang rutin dan kurang mustahak dan peristiwa lebih penting yang berkait dengan peperangan dan keamanan. Ketika seorang wanita tua dan seekor kucing sedang tidur nyenyak, televisyen menyiarkan rakaman berita yang menunjukkan sebutir bom diangkat dengan hati-hati dari dalam sungai untuk menghalangnya daripada meletup. Ketiadaan sebarang aktiviti dalam foto ini menyebabkan perhatian ditumpukan kepada gambar yang tertera di kaca televisyen. Keadaan itu seterusnya diberikan bayangan secara tidak langsung dan dikenakan dengan makna baharu menerusi judul yang dipakai untuk karya ini. Seperti tajuk karya-karya Ismail Hashim yang lain, tajuk karya ini Tidur Punya Ralit Bom Meletup Pun Tak Sedar turut dimulakan dengan kata kerja. Berpandukan tajuk itu, karya ini memberikan penekanan ke atas keadaan subjek-subjek yang sedang tidur lena dan betapa mereka langsung tidak menyedari apa yang berlaku di sekitar mereka, termasuklah peristiwa pengalihan bom yang disiarkan di kaca televisyen. Karya ini barangkali mahu mengingatkan penonton agar sentiasa menyedari dan memerhati keadaan di sekeliling dan juga segala macam bahaya yang timbul akibat peperangan.

Maklumat
Media:
Cetakan manual gelatin perak yang diwarnakan
Dimensi:
49 x 33 cm
Tarikh:
1983
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Ismail Hashim
Tentang Ismail Hashim

Ismail Hashim (1940–2013) dilahirkan di Pulau Pinang. Beliau terkenal dengan karya-karya fotografi yang dicetak dan diwarnakan secara manual yang merakamkan kehidupan serta pemandangan sehari-hari. Ismail merupakan salah seorang tokoh perintis seni rupa Malaysia. Beliau juga salah seorang seniman fotografi terawal di rantau ini yang meneroka dan bereksperimen dengan pelbagai teknik pengkaryaan dan kaedah persembahan melalui medium fotografi. Beliau pada mulanya mendapat latihan perguruan dan mengajar seni lukis di Sekolah Persekutuan untuk Orang Pekak di Pulau Pinang. Pada tahun 1972, beliau masuk ke Universiti Sains Malaysia (USM) untuk belajar Seni Halus dan seterusnya memperolehi ijazah Sarjana dengan pengkhususan dalam bidang Seni Reka Grafik dari Washington State University, Amerika Syarikat pada tahun 1979. Setelah pulang ke Malaysia, beliau kembali ke USM sebagai pensyarah di jabatan seni tampak dan akhirnya menjadi dekan Pusat Seni. Beliau juga merupakan ahli serta pengasas persatuan Aliran yang aktif dengan gerakan pembaharuan sosial. Beliau menyumbang pelbagai reka bentuk untuk Aliran, termasuklah mereka bentuk logonya dan muka hadapan beberapa isu majalah ikonik yang diterbitkan oleh persatuan itu. Beliau pernah menyertai acara Asian Art Biennale (Bangladesh, 1992) dan 1st Asia-Pacific Triennal (Brisbane, 1993). Pada tahun 2010, Ismail menjadi seniman fotografi pertama yang diberikan penghormatan menerusi pameran retrospektif yang dilangsungkan di Muzium dan Galeri Seni Negeri Pulau Pinang. Selepas Ismail meninggal dunia pada tahun 2013 akibat kemalangan motosikal, karya-karya beliau dipamerkan dalam pameran Unpack–Repack: A Tribute to Ismail Hashim (1940–2013) di The Whiteways Arcade, Pulau Pinang dan di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur pada tahun 2015.

Bacaan Selanjutnya

Bahagian Pembelajaran

  • Andaikan bahawa anda memberi penerangan tentang gambar ini kepada orang buta. Apakah elemen-elemen penting yang terdapat di dalam gambar itu? Terangkan setiap satunya dengan terperinci. Di manakah kedudukan mereka? Apakah yang sedang mereka lakukan?

  • Seseorang seniman mula berkarya di atas kain kosong, dan seseorang jurugambar pula bermula dengan segalanya sudah tersedia namun memilih perkara-perkara yang tidak ingin dimasukkan. Apakah yang tidak dimasukkan oleh jurugambar tersebut? Teliti apa yang dimasukkan ke dalam gambar tersebut. Kenapakah jurugambar ini memasukkan perkara-perkara tersebut? Adakah gambar ini dilakonkan? Kenapa anda berfikir sedemikian?

  • Adakah judul karya ini membantu anda untuk memahaminya? Adakah ianya sudah mengubah cara pandang anda terhadap karya ini? Adakah seniman ini cuba untuk mengangkat isu tentang masyarakat melalui karya ini? Apakah isu tersebut?