Art Detail | Ilham Gallery
Drawing for Mandi Bunga Zine (1/5)
 TAMBAH KE ALBUM
Drawing for Mandi Bunga Zine (1/5)
2013

Ini adalah lima lukisan asal untuk zine lapan muka surat bertajuk Mandi Bunga oleh Sharon Chin. Ianya usaha pertama beliau membuat zine, dicetak dan diedar sempena projek persembahan awam kerjasama beliau untuk Biennale Singapura 2013, yang melibatkan seramai lebih seratus orang dalam upacara ‘mandi bunga’ awam bersamanya di perkarangan Muzium Nasional Singapura. 


Projek ‘Mandi Bunga’ ini diilham oleh pengalaman Sharon Chin menyertai perhimpunan jalanan Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 yang menggesa pilihan raya bebas dan adil di Malaysia. Apa yang dia lukiskan bukanlah insiden protes itu sendiri tetapi pengalaman menjadi sebahagian daripada pergerakan besar, dan pergelutan dirinya untuk tidak kehilangan diri dalam kelemahan dan kecanggahannya. Yang dimaksudkan dengan kecanggahan ialah hakikat projeknya yang dibiayai oleh penganjur Biennale, atau dalam kata lain, kerajaan Singapura dan rakyatnya. Pengalaman beliau diterjemahkan ke Mandi Bunga dalam tiga bahagian: pertama, lebih seratus orang telah dijemput untuk membawa atau membuat kain sarung mereka sendiri untuk dipakai semasa mandi bunga awam itu; persembahan sepuluh minit mandi beramai-ramai diadakan di perkarangan Muzium Nasional Singapura; akhir sekali, sebuah pameran dokumentasi proses dan hasil persembahan telah diadakan. Dengan membuat orang yang tidak dikenalinya bermandi bunga di khalayak awam, Sharon Chin berhasrat mempertimbangkan tiga soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan melakukan sesuatu secara bersendirian? Apakah yang dimaksudkan dengan melakukan sesuatu bersama? Dan bagaimana kita jadi kita sendiri bersama orang lain?


‘Zine’, yang dilukis dengan dakwat hitam, dibuat sebelum persembahan dan diedarkan secara percuma pada hari upacara untuk menerangkan motivasi dan pendekatan artis. Halaman tajuk dihiasi dengan corak seperti ikalan rambut berkelok mengelilingi teks tengah. Halaman berikutan ialah ilustrasi kepulan asap daripada kanister, yang juga menjadi gelembung teks kenyataan artis. Halaman seterusnya meneruskan gabungan tulisan dan lakaran ini, dengan bahagian lebih interaktif di mana pembaca digalak mencatit respon kepada gesaan artis. Satu daripada lima lukisan persediaan ini dijadikan poster belakang zine, memaparkan corak ikal rambut yang sama dihias dengan berbagai objek dan simbol, yang menjadi jelas bila zine itu dibuka sepenuhnya. Bagi Sharon Chin, zine itu sendiri dan pelawaan penyertaan adalah faktor penting di sebalik pilihan medianya; zine ini, yang dilukis dengan tangan dan direka untuk disampaikan dari orang ke orang, boleh mencetus hubungan yang lebih bermakna antara pencipta dan pembaca. Versi digital zine ini kini boleh dilihat dan dimuat turun di laman web artis.

Maklumat
Media:
Dakwat atas kertas
Dimensi:
27 x 39 cm
Tarikh:
2013
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Sharon Chin
Tentang Sharon Chin

Sharon Chin (lahir 1980, Petaling Jaya) seorang artis, kurator dan aktivis yang menganggap badan sebagai ruang bertindak untuk menangani sistem kod tempat, sejarah dan bahasa. Berkarya merentasi media seperti perlakuan, instalasi, arca, lukisan dan teks, Sharon Chin menghasilkan karya yang boleh bersifat politik, berunsur lakonan atau peribadi. Karya beliau telah dipamerkan dalam dan di luar negara.

Bacaan Selanjutnya