Art Detail | Ilham Gallery
Abstract Landscape
 TAMBAH KE ALBUM
Abstract Landscape
1956

Mengambil inspirasi rasmi daripada Ekspresionis Jerman, landskap abstrak ini dilukis dengan bahagian tertentu yang dicat rata dengan warna terang tidak tabii, disusun bagaikan jigsaw. Coretan hitam dan tebal menggariskan tiang dan badan kapal dan membentuk siluet pohon tandus di latar depan. Penggunaan warna sienna hangat di sebelah kiri menjurus kepada warna biru laut gelap yang lebih redam dan hitam di sebelah kanan. Lukisan ini ialah contoh kepelbagaian karya artis, yang boleh diilhami oleh lukisan dakwat Cina, Ekspresionisme Jerman atau Pos-Impresionis Perancis seperti Cezanne.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas papan gentian
Dimensi:
40 x 49 cm
Tarikh:
1956
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Lee Cheng Yong
Tentang Lee Cheng Yong

Sezaman dengan pelukis Yong Mun Sen, Lee Cheng Yong (lahir 1913-meninggal 1974, China) seorang artis dan pendidik perintis serba boleh. Pada tahun 1930, Lee lulus daripada Universiti Seni Xin Hua di Shanghai. Tidak jelas bila beliau mula mengajar seni di Sekolah Tinggi Chung Ling Pulau Pinang, tetapi menjelang 1932, beliau telah pun mengadakan pameran solo di Philatelic Union di Acheen Street, Pulau Pinang. Lee adalah ahli pengasas Persatuan Pelukis Cina di Singapura (1935), Persatuan Seni Ying Ying (1936), dan Persatuan Seni Pulau Pinang (1953). Pada tahun 1936, dia dipilih sebagai presiden Persatuan Seni Cina Pulau Pinang, dengan Yong Mun Sen sebagai naib presiden. Pada tahun 1996 Balai Seni Lukis Pulau Pinang mengingatinya dengan pameran retrospektif. 

Bacaan Selanjutnya

  • Perintis Seni Malaysia. 1994. The Art Gallery, Pulau Pinang.

  • Retrospektif Lee Cheng Yong, 1996, Muzium Negeri Pulau Pinang.

  • “Gaya Nanyang: Impian Syurgaloka di Waktu Silam? Wawancara Terkini dengan Alumni NAFA)”. Naratif Seni Malaysia Jilid 1, disunting oleh Nur Hanim Khairuddin dan Beverly Yong. Kuala Lumpur: RogueArt, 2012.

  • Lapan Perintis Seni Malaysia. 2014. Marshall Cavendish, Singapura.

  • Katalog Rancangan Nanyang. 2016. Pusat Seni Visual, Singapura.
    ica_singapore_exhibition-catalogue_artists-imagine-a-nation.pdf (lasalle.edu.sg)

Bahagian Pembelajaran
  • Lukisan ini digelarkan lukisan pemandangan abstrak. Pemandangan apakah yang dapat kita lihat? Apakah elemen-elemen pemandangan yang anda perasan? Apakah elemen-elemen yang sudah diabstrakkan?

  • Bagaimanakah warna digunakan dalam lukisan ini? Terdapatkah warna yang lebih dominan daripada warna yang lain? Di mana? Adakah warna-warna tersebut realistik? Apakah suasana yang terhasil? Apakah titik tumpuan lukisan ini? Bagaimanakah seniman ini menekankan elemen tersebut? Bagaimanakah mata anda melihat lukisan ini? Apakah elemen-elemen yang memimpin mata anda ketika melihat lukisan ini?