Art Detail | Ilham Gallery
Home Dinner II (Family Series)
 TAMBAH KE ALBUM
Home Dinner II (Family Series)
1995

Karya ini merupakan salah sebuah karya terawal Yau Bee Ling yang dihasilkan pada tahun yang sama beliau menamatkan pengajian di Malaysian Institute of Art ketika berusia 22 tahun. Karya ini menampilkan kemunculan awal beberapa tema utama yang menjadi fokus dalam kerjaya seni beliau selepas itu, seperti kerumitan hubungan dan tanggungjawab keluarga. Dalam lukisan yang padat ini yang memaparkan acara makan malam keluarga, semua orang sudah duduk kecuali seorang lelaki. Makanan di atas meja masih belum disentuh, seolah-olah semua sedang menunggu lelaki itu duduk sebelum mereka mula menjamah makanan. Makan malam dihidangkan mengikut amalan biasa keluarga orang Cina dengan pelbagai jenis makanan disajikan untuk dikongsi bersama. Dengan mengubah dan mengherotkan perspektif serta bentuk badan figura-figura dalam lukisan ini, Bee Ling memperlihatkan suasana ketegangan dan klaustrofobia yang wujud dalam keluarga besar. Lukisan Home Dinner II (Family Dinner) ini menggambarkan perebutan untuk menonjolkan identiti individu dalam sebuah keluarga besar dan juga keselesaan serta keyakinan dengan tradisi-tradisi keluarga yang tidak meminggirkan sesiapa.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kanvas
Dimensi:
87 × 116 cm
Tarikh:
1995
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Yau Bee Ling
Tentang Yau Bee Ling

Yau Bee Ling (l. 1972, Selangor) menamatkan pengajian di Malaysian Institute of Art pada tahun 1995. Karya-karya beliau selalunya berkisarkan kisah hidupnya sendiri dan menyoroti pelbagai peranan yang dimainkan oleh kaum wanita di rumah dan juga dalam masyarakat yang lebih luas. Beliau mengikuti program residensi artis di Rimbun Dahan, Kuang dari tahun 2004 hingga 2005 dan di Kuandu Museum of Fine Arts, Taiwan pada tahun 2016. Beliau telah menyertai banyak pameran bersama Wei-Ling Gallery di Kuala Lumpur dan juga di China, Pakistan, Singapura, Bangladesh, Jepun dan Indonesia. Pada tahun 1999, beliau dipilih oleh Balai Seni Negara untuk mewakili Malaysia di acara Asian Art Biennale kali ke-9 di Dhaka, Bangladesh. Karya-karya beliau terdapat dalam koleksi Balai Seni Negara, PETRONAS, Maxis dan Fukuoka Asian Art Museum, Jepun.

Bacaan Selanjutnya
Bahagian Pembelajaran
  • Bayangkan anda berada di dalam lukisan tersebut. Apakah yang anda lihat? Apakah yang anda dengar? Apakah bau yang dapat anda hidu? Bagaimanakah suasana dalam ruangan tersebut? Apakah yang anda rasa? Andakah anda merasa diterima? Apakah ingatan-ingatan yang digamitkan oleh lukisan ini? 

  • Perhatikan figura-figura di dalam lukisan tersebut. Apakah mereka mengenali satu sama lain? Apakah hubungan-hubungan mereka? Adakah mereka selalu meluangkan masa bersama? Adakah mereka mesra dan menyukai satu sama lain? Bagaimanakah taraf kehidupan mereka? Adakah mereka ini kaya? Adakah mereka gembira? Adakah mereka ini orang baik-baik belaka? Apakah petanda-petanda di dalam lukisan ini yang dapat membantu anda menjawab pertanyaan-pertanyaan ini? Kenapa salah seorang figura tidak duduk di meja?