Art Detail | Ilham Gallery
Cow Series no. 10
 TAMBAH KE ALBUM
Cow Series no. 10
1970

Diolah dengan warna terang dan pekat, pemandangan desa yang dirakamkan dalam karya Cow Series no. 10 ini kelihatan penuh bertenaga dan sangat berbeza daripada suasana kelesuan dan kelembutan yang merupakan ciri biasa dalam lukisan pemandangan bergaya Nanyang. Wajah petani dan isterinya yang terdongak menggambarkan ketenangan serta kesungguhan mereka ketika melakukan kerja seharian, iaitu satu sifat yang patut dipuji. Penggunaan warna merah terang untuk petani dan isterinya serta lembu yang mereka sayangi yang berada di tengah-tengah sekawan lembu menjadi satu unsur yang menyatukan, lalu membayangkan kerukunan antara manusia dan alam. Mata kedua-dua petani ini yang mengecil merupakan unsur yang sering ditampilkan dalam lukisan figuratif Nai Tong. Bentuk mata seperti itu menggambarkan subjek yang dilukis oleh Nai Tong sedang merenung dalam-dalam ketika sibuk melakukan kerja.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kanvas
Dimensi:
80.5 × 80 cm
Tarikh:
1970
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Tew Nai Tong
Tentang Tew Nai Tong

Tew Nai Tong (l. 1936, Klang – m. 2013, Kuala Lumpur) dikatakan oleh pengkritik seni Ooi Kok Chuen sebagai “barangkali pelukis pujaan terakhir yang membawa gaya lama Nanyang”. Nai Tong menamatkan pengajian di Nanyang Academy of Fine Arts (NAFA) pada tahun 1958 dan, seperti kebiasaan  ramai lulusan NAFA ketika itu, melanjutkan pengajian di École des Beaux-Arts di Perancis. Di NAFA, beliau memberikan tumpuan kepada lakaran dan lukisan cat air dengan tema pemandangan. Namun di Perancis tumpuannya beralih kepada lukisan figuratif menggunakan cat minyak. Selepas pulang ke Malaysia pada tahun 1969, beliau bekerja sebagai pensyarah di Malaysian Institute of Art. Lukisan-lukisan Nai Tong boleh ditemui dalam koleksi di Balai Seni Negara Malaysia, Muzium Negeri Sarawak dan Muzium Seni Singapura. 

Bacaan Selanjutnya
  • Kok Chuen, Ooi. “Nanyang Style: Bygone Dreams of Paradise? (Recent Conversations with NAFA Alumni”. In Narratives of Malaysian Art vol. 1, edited by Nur Hanim Khairuddin and Beverly Yong, 71–76. Kuala Lumpur: RogueArt, 2012.  

  • Supreme Master TV. “Acclaimed Malaysian Painter Tew Nai Tong: Bridging Cultures with Art.” Filmed interview with Tew Nai Tong from 2009. youtube.com/watch?v=M3Xq3Wsw

Bahagian Pembelajaran
  • Terangkan tentang figura-figura yang terdapat di dalam lukisan ini. Bagaimanakah cara mereka berpakaian? Ke manakah hala tuju mereka? Siapakah mereka? Apakah hubungan mereka? Terangkan tentang binatang-binatang yang ada di dalam lukisan ini. Adakah pelukisnya sengaja melukiskan mereka sebagai bersendiri? Apakah perbezaan yang ada dalam kalangan mereka?

  • Ramai seniman Malaysia yang menghasilkan karya seni tentang kehidupan kampung. Bolehkah anda tunjukkan contoh-contoh lain yang ada dalam koleksi ini? Kenapakah para seniman sangat berminat dengan kehidupan kampung? Adakah anda lebih suka tinggal di kampung atau di bandar?