Art Detail | Ilham Gallery
Brown Madonna
 TAMBAH KE ALBUM
Brown Madonna
1970

Lukisan ini memaparkan figura seorang wanita, yang diolah dengan gaya surrealis, duduk dalam keadaan tenang dan penuh kehormatan. Seperti yang dibayangkan oleh judul lukisan ini, Brown Madonna, wanita itu memancarkan aura ketuhanan dan menimbulkan gambaran tentang ibu pertiwi yang baik yang hidup harmoni dengan alam serta persekitarannya. Mata Madonna, yang menyerupai mata burung phoenix, menggambarkan dirinya yang penuh misteri dan terpisah dari dunia sekeliling, sejenis gaya yang mula-mula dipopularkan oleh Cheong Soo Pieng, guru Sui Hoe di Nanyang Academy of Fine Arts (NAFA). Brown Madonna melambangkan tipa induk wanita tropika yang lemah lembut, menawan dan menggoda yang telah memikat hati ramai pelukis Nanyang.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kanvas
Dimensi:
32 × 32 cm
Tarikh:
1970
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Khoo Sui Hoe
Tentang Khoo Sui Hoe

Khoo Sui Hoe (l. 1939, Kedah) belajar di Nanyang Academy of Fine Arts dari tahun 1959 hingga 1961 di bawah bimbingan pelukis-pelukis perintis Nanyang iaitu Cheong Soo Pieng dan Georgette Chen. Pada tahun 1974, beliau menerima Geran John D. Rockefeller untuk belajar di Pratt Graphics Center di New York. Pada tahun 1982, beliau dan keluarganya menetap di Amerika Syarikat. Sepanjang kerjaya seninya yang panjang, Sui Hoe telah berpameran di merata-rata tempat, termasuklah di National Gallery of Bangkok di Thailand (1997), Las Vegas Art Museum di Amerika Syarikat (2002; 2004) dan Shanghai Art Museum di China (2005). Karya beliau terdapat dalam beberapa koleksi institusi dan persendirian di seluruh dunia, termasuklah di Balai Seni Lukis Negara, Singapore Art Museum dan National Art Gallery of Victoria.

Bacaan Selanjutnya
  • Khai, Lee, ed. The Painted World of Khoo Sui Hoe. Penang: Penang State Museum & Art Gallery, 2007.

  • Austin Coates, Ten Years: An Appreciation. Khoo Sui-Ho: Lukisan 1963-73. Kuala Lumpur: Samat Art Gallery, 1974.

  • Damrong Wong-Uparaj, Khoo Sui Ho and His Paintings. Khoo Sui Ho: Heads and Masks. Bangkok: The National Gallery, 1997.

Bahagian Pembelajaran
  • Huraikan tentang wanita di dalam lukisan tersebut. Berapakah umur beliau? Bagaimanakah beliau bergaya? Apakah yang sedang beliau fikirkan? Apakah perincian yang seniman ini masukkan ke dalam lukisan itu? Bagaimanakah pula dengan penggunaan warna? Apakah warna-warna yang lebih dominan? Apakah suasana keseluruhan yang terpancar dari lukisan ini?