Artist Detail | Ilham Gallery
Redza Piyadasa
1939 - 2007, Malaysia
Redza Piyadasa
1939 - 2007, Malaysia

Redza Piyadasa (1939–2007) dilahirkan di Kuantan. Beliau merupakan seorang pelukis, pengkritik seni dan pendidik seni yang terkenal. Melalui praktisnya yang luas dan karyanya yang beraneka ragam, beliau sering bergelut dengan persoalan tentang identiti negara di Malaysia. Beliau menerima biasiswa kerajaan dan dihantar ke England untuk melanjutkan pengajian, mula-mula di Malayan Teachers College di Brinsford Lodge (1959) dan selepas itu di Hornsey College of Art di London (1963). Beliau mengajar di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu (1968–69) dan kemudiannya menjadi pensyarah di Institut Teknologi MARA (1969–74), sebelum menyambung pengajian di peringkat ijazah Sarjana Seni Halus di Universiti Hawaii, Manoa (1975–77). Selepas itu beliau berkhidmat sebagai pensyarah seni di Universiti Sains Malaysia (1977–84). Antara hadiah dan anugerah yang pernah beliau terima ialah Hadiah Utama dalam pertandingan Landskap Malaysia pada tahun 1974, Anugerah Kecil (bersama Lee Kian Seng) dalam pertandingan Salon Malaysia pada tahun 1979 dan Anugerah Prince Claus pada tahun 1998. Beliau juga menerima anugerah Australian Cultural Award (1987) dan Japan Foundation (1992). Pada tahun 2001, Balai Seni Negara mengadakan pameran retrospektif untuk beliau sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepadanya.