Art Detail | Ilham Gallery
Good Year For The Roses
 TAMBAH KE ALBUM
Good Year For The Roses
2007

Dalam karya ini, Anurendra Jegadeva memberi penghormatan kepada dua tokoh budaya yang penting di Malaysia yang telah meninggal dunia pada tahun 2007: Loga Arumugam, ahli dan pengasas kumpulan muzik yang sangat popular iaitu Alleycats, dan Redza Piyadasa, pelukis dan sejarawan seni yang terkemuka. Kedua-dua tokoh ini merupakan wira peribadi buat Anurendra. Walaupun karya ini lebih menonjolkan Loga dengan gaya rambut Afronya yang terkenal, rujukan kepada Redza Piyadasa turut dibuat dengan memasukkan karya ikonik beliau bertajuk 13 May 1969, iaitu sebuah keranda yang dilukis dengan bendera Malaysia, yang dipaparkan sebagai loket yang digantung di leher Loga. Latar belakang berwarna perak metalik dan imej-imej bunga ros yang distensilkan menggambarkan sifat budaya pop yang melibatkan pengeluaran besar-besaran. Warna biru meleleh di atas Loga seperti air mata atau titisan hujan, lantas menambahkan sedikit kehibaan pada wajahnya yang tersenyum dan amat dikenali. Tajuk lukisan ini, Good Year For The Roses, merujuk kepada sebuah lagu balada popular yang pertama kali dirakamkan oleh penyanyi country George Jones. Lagu tersebut membawa tema cinta dan kehilangan, dan dengan itu menggambarkan kesedihan yang dirasai oleh pelukis atas pemergian kedua-dua tokoh budaya yang besar dan berpengaruh ini.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kanvas
Dimensi:
122 × 91.5 cm
Tarikh:
2007
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Anurendra Jegadeva
Tentang Anurendra Jegadeva

Anurendra Jegadeva (l. 1965, Johor) merupakan seorang pelukis dan penulis terkenal yang kini tinggal di Australia. Beliau menerima ijazah Sarjana Seni Halus dari Universiti Monash. Karya-karya beliau disulam dengan naratif-naratif tentang identiti dan tempat dan menggabungkan pelbagai jenis medium untuk menghasilkan potret-potret kontemporari yang inovatif. Karya-karya yang beliau hasilkan menggambarkan respons peribadi beliau terhadap dunia di sekeliling. Beliau menyulam lapisan kisah hidup beliau sendiri ke dalam realiti-realiti dunia yang rumit yang beliau cuba rakamkan. Beliau telah menyertai banyak pameran di Malaysia dan Australia dan juga di sekitar rantau ini. Anurendra merupakan salah seorang daripada empat pelukis Malaysia yang terlibat dalam Venice Biennale pada tahun 2019.

Bacaan Selanjutnya
Bahagian Pembelajaran

  • Terangkan tentang susun atur lukisan ini. Apakah titik tumpuannya? Bagaimanakah cara pelukis ini mengetengahkan elemen tersebut? Adakah susun aturnya seimbang? Terdapatkan bentuk-bentuk simetri dalam susun atur ini? Apakah warna-warna yang mendominasi susun atur itu? Apakah kesan warna-warna ini terhadap suasana lukisan tersebut?

  • Penggunaan potret sebagai sebahagian daripada proses berdukacita sudah bermula sejak zaman Roman lagi, ketika para tukang disuruh untuk menghasilkan topeng kematian dengan menggunakan wajah si mati sebagai acuan. Apakah peranan potret waktu berdukacita? Setiap budaya mempunyai upacara yang berkait rapat dengan dukacita. Apakah upacara yang ada dalam budaya anda? Adakah ianya mampu merawat kesedihan? Dari manakah asal-usul upacara ini?

  • Teks tersebut menerangkan kepada kita bahawa subjek-subjek lukisan tersebut merupakan wira kepada pelukisnya. Siapakah para wira anda? Kenapa anda menganggap mereka sebagai wira? Walaupun pelukis ini melukis sebuah potret Loga Arumugam, beliau mengetengahkan subjek keduanya sebagai sebuah lambang. Apakah lambang yang mewakili wira anda?