Art Detail | Ilham Gallery
Bobby II
 TAMBAH KE ALBUM
Bobby II
2008

Arca damar dan gentian kaca berwarna ini pertama kali dipamerkan pada tahun 2008 di pameran solo Zulkifli Yusof yang berjudul ICONS. Pemeran multimedia ini meneroka peristiwa-peristiwa semasa dan bersejarah yang dianggap penting dalam pembentukan masyarakat Malaysia. Dengan merujuk kepada teks-teks dan ikon-ikon yang diperoleh daripada arkib, pameran ini cuba untuk melanjutkan lagi usaha beliau bagi mencari bentuk-bentuk pembacaan dokumen-dokumen kontemporari, colonial dan pribumi yang lebih baharu dan dinamik dalam seni. 


Dalam arca ini, Yusoff merujuk kepada dua peristiwa besar yang pernah terjadi di Malaysia. Pertama, bentuk setitis air mata terbalik seperti jantung pisang adalah lambang kepada lembing yang digunakan untuk membunuh J.W.W. Birch pada 2 November 1875, sebuah peristiwa yang mencetuskan Perang Perak dan pengukuhan kuasa British di Tanah Melayu. Kedua, teks-teks dan citra ikon pop dari filem Bobby, sebuah filem Hindi yang laris pada tahun 1973. Yusoff menggunapakai jenis tulisan filem tersebut dan menggabungkannya dengan motif-motif seperti bintang, hati, dan kotak dialog dalam bentuk ukir timbul yang cetek.


Pertembungan antara bahan rujukan lama dan baharu ini diperkuatkan lagi oleh kerangka air mata yang bersifat seperti sebuah bahan peninggalan: tubuhnya diwarnakan dengan warna kuning padang pasir dengan batu permata dan tatah damar yang diberikan sentuhan terakhir berdebu. Arca ini dilihat seperti sebuah artifak tidak bertarikh yang baru dipamerkan. Yusoff ingin menguji kemampuan penonton dalam meneka waktu, imej, dan sejarah. Dalam Bobby II, kita sebaliknya digalakkan menjadi lebih kreatif dalam memahami sejarah Malaysia.

Maklumat
Media:
Damar dan gentian kaca berwarna
Dimensi:
120 x 50 cm
Tarikh:
2008
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Zulkifli Yusoff
Tentang Zulkifli Yusoff

Zulkifli Yusoff (l. 1962, Kedah, Malaysia) menerima Diploma Seni Lukis dan Seni Reka dari Institut Teknologi MARA (sekarang UiTM) dan ijazah Sarjana Seni dari Fakulti Seni & Rekabentuk Politeknik Manchester, United Kingdom. Karya-karya yang dihasilkannya selama beberapa dekad menggunakan pelbagai jenis medium, daripada lukisan dan cetakan ekspresif sampailah kepada arca dan instalasi yang cukup bertenaga. Sepanjang kerjayanya beliau telah berpameran di peringkat antarabangsa dan karya-karyanya juga boleh ditemui dalam pelbagai koleksi penting di rantau ini, seperti Balai Seni Negara, Galeri PETRONAS dan Galeri Negeri Kedah di Malaysia, Muzium Seni Singapura, dan Muzium Seni Fukuoka dan Muzium Seni Hiroshima di Jepun. Zulkifli Yusof pernah mewakili Malaysia di acara Venice Biennale pada tahun 1997 dan 2019. 

Bacaan Selanjutnya