Art Detail | Ilham Gallery
Portrait IX
 TAMBAH KE ALBUM
Portrait IX
2009

Bayu Utomo Radjikin menghasilkan siri The Portrait antara tahun 2007 dan 2009. Dalam karya potret diri yang serba enigmatik ini, kita menyaksikan kemahiran Bayu mengolah garisan dan bentuk ketika beliau melukis potret dirinya sendiri sebagai pahlawan Melayu yang sedang bersilat. Dengan bahagian mukanya digelapkan, pahlawan ini menonjolkan sikap kelelakian yang kuat, sambil Bayu menggali mitos mengenai tipa induk wira lelaki. Tanjak atau tengkolok yang dipakai oleh pahlawan serta cara ikatannya selalunya menggambarkan darjat serta asal-usul pahlawan itu. Di samping itu, cara ikatan tanjak juga adalah satu bentuk kesenian yang berkait rapat dengan prinsip kebenaran dan keindahan dalam Islam. Walaupun karya-karya dalam siri ini nampak sahaja mudah untuk difahami dan ditafsir, potret-potret pahlawan yang dilukis oleh Bayu menyajikan peluang untuk memikirkan semula mengenai hubungan yang wujud antara tradisi, warisan dan identiti.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kanvas
Dimensi:
199 x 145 cm
Tarikh:
2009
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Bayu Utomo Radjikin
Tentang Bayu Utomo Radjikin

Dilahirkan pada tahun 1969 di Tawau, Sabah (Malaysia Timur), Bayu Utomo Radjikin merupakan lulusan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau adalah anggota serta pengasas kolektif MATAHATI dan kini menjadi Pengarah HOM Art Trans. Beliau berkarya dengan pelbagai medium, dari arca sampailah catan figuratif, untuk menyelidik persoalan tentang identiti awam dan peribadi dan juga mengutarakan komentar sosial. Pemahaman mendalam Bayu mengenai tubuh manusia jelas tergambar pada catan-catan dan arca-arca figuratif penuh dramatik yang dihasilkannya. Karya-karya beliau membolehkan hal-hal yang mistikal dan personal saling berbaur dan bercampur antara satu sama lain, di samping mengajak penonton untuk menilai semula pemahaman mereka mengenai tradisi.

Bacaan Selanjutnya

Bahagian Pembelajaran

  • Teliti potret ini. Jelaskan apa yang anda lihat. Bagaimanakah cara pelukis menggunakan warna dalam lukisan ini? Apakah makna penggunaan warna merah dalam lukisan tersebut? Dari manakah arah cahaya? Ke manakah pandangan lelaki di dalam lukisan tersebut? Kenapa?

  • Bandingan lukisan ini dengan lukisan Peter Harris yang berjudul “Warrior”. Apakah persamaan dan perbezaan antara kedua-dua lukisan tersebut? Pada pendapat anda, kenapakah Bayu memilih untuk melukiskan dirinya sebagai pahlawan? Apakah perbezaannya dengan lukisan Peter Harris dari segi maksudnya?