Art Detail | Ilham Gallery
Cherish An Ordinary World
 TAMBAH KE ALBUM
Cherish An Ordinary World
1998

Dalam lukisan ini, kita lihat empat sekeluarga sedang berbaring dalam bulatan mengelilingi pokok renek yang berbuah. Ibu dan bapa memakai kain batik dan dilukis bertentangan antara satu sama lain. Kedua-dua anak mereka tidak memakai baju dan berbaring dalam keadaan selesa dan tenang, seperti bapa mereka. Raut wajah ibu yang sedang termenung dan separuh bimbang menarik perhatian penonton dan memberikan gambaran bahawa lukisan ini sebenarnya mencerminkan dunia dalamannya. Dalam kotak-kotak di latar belakang yang bercorak papan catur dilukis beberapa objek di rumah bagi melambangkan sesuatu, seperti barang permainan kanak-kanak dan paip bocor, selain objek-objek yang digunakan untuk kerja-kerja seni seperti canting batik dan set perkakas dakwat. Bagi Yih Yiing, hal-hal keibuan  merupakan satu permainan strategi, seperti catur, di mana beliau harus berfikir beberapa langkah ke hadapan dan mengimbangi keperluan keluarga dengan keperluan ekspresi dirinya melalui seni.

Maklumat
Media:
Akrilik dan cat minyak atas kanvas
Dimensi:
122 × 168 cm
Tarikh:
1998
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Shia Yih Yiing
Tentang Shia Yih Yiing

Shia Yih Yiing (l. 1966, Sarawak) memperoleh diploma dari Malaysian Institute of Art sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Seni Halus di University of Western Sydney. Karya-karya ciptaan beliau sering menyentuh tema-tema mengenai kewanitaan dan keibuan, disulami dengan unsur-unsur kelucuan. Beliau telah mengadakan beberapa pameran solo di dalam dan luar negara seperti di Singapura dan Australia. Pada tahun 2020, beliau mengikuti program residensi artis di Rimbun Dahan, Kuang.

Bacaan Selanjutnya

Bahagian Pembelajaran

  • Perhatikan empat figura yang terdapat di dalam lukisan ini. Terangkan cara mereka berpakaian dan bergaya. Apakah yang seniman ini cuba jelaskan kepada kita tentang keempat-empat figura tersebut. Apakah ciri-ciri keperibadian mereka? Apakah yang mereka sedang fikirkan? Figura mana yang anda lebih kasihan? Bayangkan bahawa ini merupakan suatu detik dalam hari mereka. Anda rasa, apakah yang mereka akan lakukan di sepanjang hari itu?

  • Latar belakang lukisan ini menyerupai sebuah permainan papan dan terdapat pelbagai lambang dalam kebanyakan petak. Adakah anda tahu lambang-lambang tersebut? Apakah makna lambang-lambang itu? Perlukah seseorang seniman itu menggunakan lambang yang dapat difahami oleh semua orang?

  • Kegiatan: Bolehkah anda mereka bentuk sebuah permainan papan berpandukan kisah hidup anda? Apakah cabaran-cabarannya? Apakah peluang-peluang yang boleh mendorong anda ke hadapan? Apakah lambang-lambang yang anda boleh gunakan untuk mencerminkan jatuh naik kehidupan. Hasilkan sebuah permainan papan yang mewakili hidup anda.