Art Detail | Ilham Gallery
See You
 TAMBAH KE ALBUM
See You
2007

Sapuan berus yang ringan dan lembut oleh Kow menyebabkan catan See You ini kelihatan hening. Kow dikenali kerana potret-potret gadis Melayu yang dihasilkannya yang merakamkan keindahan kawasan pantai timur Malaysia. Dalam catan ini, yang menjadi fokus utama ialah gadis Melayu berbaju kurung tradisional dengan mukanya dipalingkan dari penonton. Seperti pemandangan di belakangnya, gadis ini dilukis dengan warna-warna pucat dan lembut. Karya ini kelihatan seolah-olah sengaja tidak disiapkan, dengan garis-garis halus pada ruang putih dapat dilihat di sekitar muka gadis. Di belakangnya, sebuah perahu nelayan yang kosong terapung di atas lautan yang sepi dan sunyi. Secara keseluruhannya karya ini menampilkan suasana melankoli, dan tajuk “See You” yang digunakan untuk catan ini membawa maksud selamat tinggal atau semacam satu pengakhiran.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kanvas
Dimensi:
88 × 110.5 cm
Tarikh:
2007
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Kow Leong Kiang
Tentang Kow Leong Kiang

Kow Leong Kiang (l. 1970, Selangor) merupakan seorang pelukis figuratif kontemporari yang penting dan beliau dikenali menerusi karya-karya potretnya yang memaparkan gadis-gadis cantik tempatan dengan berlatarbelakangkan pemandangan desa. Beliau secara khususnya gemar melukis gadis yang tinggal di kampung-kampung di pantai timur Malaysia dan beliau mendapati ada sesuatu yang menarik dan indah dengan gaya hidup tradisional yang diamalkan oleh mereka. Kow menerima diploma Seni Halus dari Kuala Lumpur College of Art pada tahun 1991. Beliau menjadi pelukis Malaysia yang pertama berjaya meraih Anugerah Seni Phillip Morris ASEAN pada tahun 1998. Sejak itu beliau telah menyertai banyak pameran di rantau Asia Tenggara dan juga di Asia Timur, Eropah dan Amerika.

Bacaan Selanjutnya

  • Ooi, Adeline and Yong, Beverly. “From Paddy Fields to Fake Plastic Palm Trees: Negotiating a Changing Social Landscape.” In Narratives in Malaysian Art, vol. 1, edited by Nur Hanim Khairuddin and Beverly Yong, 96–113. Kuala Lumpur: RogueArt, 2012. 

Bahagian Pembelajaran

  • Lukisan ini memiliki suatu rasa naratif yang sangat kuat. Bayangkan lukisan ini sebagai sebuah poster filem. Filem apakah yang sesuai? Siapakah wanita di dalam lukisan tersebut? Apakah yang dirasainya? Ke manakah dia tuju? Pukul berapakah waktu itu? Apakah yang sudah terjadi? Apakah yang akan terjadi? Adakah judul lukisan ini dapat membantu anda mencari jawapannya?

  • Perhatikan susun atur lukisan ini. Apakah yang pelik tentang kedudukan figura tersebut di dalam lukisan ini? Kenapa pelukisnya berbuat sedemikian? Apakah warna yang dominan dalam lukisan ini? Apakah kesannya?

  • Pada pendapat anda, adakah lukisan ini sebuah lukisan potret? Adakah semua lukisan orang semestinya lukisan potret? Jika ya, apakah yang dapat kita tahu tentang subjek tersebut? Jika tidak, apakah syarat-syarat untuk menjadikan sesebuah lukisan orang itu sebagai lukisan potret?