Art Detail | Ilham Gallery
Puisi Jiwa I
 TAMBAH KE ALBUM
Puisi Jiwa I
2007

Karya Puisi Jiwa I ini dihasilkan selepas Bayu pulang setelah tinggal selama dua tahun di London. Ia ditampilkan dalam pameran solonya pada tahun 2007 Mind The Gap: From KL to London di Galeri Wei-Ling. Bayu menggunakan semula citra potret diri seperti dalam karya-karya lamanya seumpama DIRI: Self Portrait (1998) dan Potret Diri: Tanpa Tajuk (1999). Dalam karya ini beliau sekali lagi mengangkat dirinya sebagai subjek utama lukisan. Dengan bahagian belakangnya menghadap penonton, mukanya terlindung. Tetapi tangannya yang didepakan dan jemarinya yang dilentikkan menimbulkan kesan ketegangan, lantas menggambarkan rasa berat yang mungkin dialami pelukis sewaktu berada jauh dari tanah air. Selain penggunaan bahasa badan, tulisan yang dimasukkan ke dalam karya ini turut menambahkan satu lagi dimensi.

Maklumat
Media:
Akrilik dan cetakan sutera saring atas kanvas
Dimensi:
134.5 x 259 cm
Tarikh:
2007
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Bayu Utomo Radjikin
Tentang Bayu Utomo Radjikin

Dilahirkan pada tahun 1969 di Tawau, Sabah (Malaysia Timur), Bayu Utomo Radjikin merupakan lulusan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau adalah anggota serta pengasas kolektif MATAHATI dan kini menjadi Pengarah HOM Art Trans. Beliau berkarya dengan pelbagai medium, dari arca sampailah catan figuratif, untuk menyelidik persoalan tentang identiti awam dan peribadi dan juga mengutarakan komentar sosial. Pemahaman mendalam Bayu mengenai tubuh manusia jelas tergambar pada catan-catan dan arca-arca figuratif penuh dramatik yang dihasilkannya. Karya-karya beliau membolehkan hal-hal yang mistikal dan personal saling berbaur dan bercampur antara satu sama lain, di samping mengajak penonton untuk menilai semula pemahaman mereka mengenai tradisi.

Bacaan Selanjutnya

Bahagian Pembelajaran

  • Penerangan tersebut menjelaskan kepada kita bahawa potret ini merupakan potret si pelukis. Apakah perbezaan antara potret diri ini dengan potret diri lain yang ada dalam koleksi Ilham? Apakah cerita tentang seniman ini yang tergambar dalam lukisan ini? Apakah gerak isyarat yang sedang dilakukannya? Apakah makna gerak isyarat tersebut? Adakah anda nampak gambar bunga di bahagian tengah lukisan ini? Kenapakah seniman ini melukiskan bunga tersebut?

  • Bandingkan lukisan ini dengan lukisan lain Bayu Utomo Radjikin. Apakah persamaan-persamaannya? Apakah perbezaan-perbezaan utamanya? Dengan melihat kesemua lukisan tersebut secara bersama, apakah sifat dirinya yang beliau cuba ceritakan kepada kita?