Art Detail | Ilham Gallery
Gubahan Interior '97(1) / Interior '97 Composition (1)
 TAMBAH KE ALBUM
Gubahan Interior '97(1) / Interior '97 Composition (1)
1997

Lukisan campuran kolaj ini menggambarkan bahagian dalaman rumah yang telah dibuka semula dan menampakkan objek, estetika dan lambang alam Melayu. Mastura sering digolongkan dalam kumpulan pelukis wanita pasca-kemerdekaan Malaysia yang bergiat dalam dekad 1980 dan 90an, dengan karya yang memberi bentuk dan pemahaman baharu kepada seni visual kontemporari Malaysia. Antara lainnya, karya angkatan menoleh kepada unsur budaya dan kehidupan tempatan seperti batik, songket, ukiran kayu, serta rujukan kepada dongeng dan tradisi kesusasteraan Melayu. Karya ‘Siri Dalaman’, berkembang daripada projek studionya pada 1980an semasa belajar seni di UiTM. Karya beliau cenderung menggabung berbagai susunan ruang dalam satu gubahan, dan mengguna perspektif linear dan isometrik, unsur miniatur Parsi dan Mughal, serta cetakan Ukiyo-E Jepun. Dua jenis sudut pandangan kerap diguna oleh beliau: Pandangan dari atas yang antara lainnya menampakkan corak lantai atau permaidani, dan pandangan sudut mata atau curi, yang memberi gambaran sudut dalaman. Motif hiasan tradisi kerap muncul.

Maklumat
Media:
Akrilik dan kolaj atas kanvas
Dimensi:
32 x 62 cm
Tarikh:
1997
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Mastura Abdul Rahman
Tentang Mastura Abdul Rahman

Mastura Abdul Rahman (lahir 1963, Singapura) adalah lulusan Kajian Seni Halus UiTM pada 1986. Beliau mewakili Malaysia di Bengkel Melukis Belia ASEAN ke-3, di Yogyakarta, Indonesia semasa masih lagi di tahun ketiga pengajian. Beliau seorang pemenang Pertandingan Bakat Muda Malaysia. Karyanya telah dipamerkan luas di Asia Tenggara, Australia, Kanada, Jerman, Singapura, Indonesia, dan Britain. Karyanya ada dalam koleksi Balai Seni lukisNegara Malaysia, Bank Negara Malaysia, Malaysia Airlines, Galeri Seni Beijing (sempena Seni Halus Olimpik, London, 2012) dan beberapa koleksi seni korporat yang lain. Beliau kini Pensyarah Kanan Fakulti Multimedia Kreatif di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya, Malaysia.

Bacaan Selanjutnya
  • Noh, L. M. M., Ridzuan, A. R., Idris, N., Sharif, T. I. S. T., & Ghani, K. M. A. (2018). Identiti Melayu dalam Lukisan Wanita Malaysia. Jurnal Antarabangsa Penyelidikan Akademik dalam Perniagaan dan Sains Sosial, 8(10), 63-72.

  • Zakaria, Muhammad, Merman, Hairulnisak. (2021). Meneroka Kemelayuan Lukisan Mastura Abdul Rahman. International Journal of Art & Design, Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka, Jilid 4, Nombor 6, April/2021, 47-55.

  • Tsabri, T, “Penggunaan Imej Seni Melayu Tradisional dalam Lukisan Mastura A. Rahman”, Off Walls Off Pedestals, 2 Mac 2010, https://tsabri.wordpress.com/?s=Mastura+Abdul+Rahman ( diakses 13 Dis 2021). Catatan blog.



Bahagian Pembelajaran
  • Apakah tindak balas pertama anda apabila melihat lukisan ini? Tuliskan satu senarai perkataan yang terlintas dalam kepala anda apabila melihat lukisan ini. Cuba tulis 3 kata sifat, 3 kata nama, dan 2 kata kerja. Apakah soalan-soalan yang anda fikirkan tentang karya seni ini? Jika anda berpeluang untuk bertemu dengan seniman ini, apakah tiga soalan tentang karya tersebut yang anda akan tanya?

  • Apakah yang anda lihat dalam lukisan ini? Apakah objek-objek yang kelihatan? Apakah corak-corak yang anda perasan? Adakah karya ini mengingatkan anda kepada rumah anda atau rumah-rumah lain yang anda pernah singgahi? Apakah elemen-elemen di dalam karya ini yang menjadikannya sangat khas Malaysia?

  • Apakah sudut pandang seniman ini ketika beliau sedang menghasilkan karya seni ini? Kenapakah beliau menyusun atur ruang dengan cara begitu?