Art Detail | Ilham Gallery
Maju Malaysia
 TAMBAH KE ALBUM
Maju Malaysia
2012

Dalam catan ini, Haron Mokhtar bermain dengan ruang dengan membahagikan kanvas menjadi satu layar berkembar. Di bahagian atas catan terdapat sebuah masjid usang dengan kerangka dan menara kayu. Sebutir bintang dan bulan sabit, lambang bagi agama Islam, bertenggek pada titik paling tinggi dalam catan ini. Bangunan masjid ini duduk di atas latar kuning cerah yang dilukiskan seakan-akan ingin menonjolkan perbezaannya dengan potret keluarga di bahagian bawah—potret seorang ayah yang sedang mengibarkan bendera Malaysia bersama dua anak lelakinya. Latar belakang catan yang diwarnakan dengan warna hijau dan biru tua, warna Kayangan dan Bumi, menghembuskan rasa tenang dan berakar dalam keluhuran.


Gaya pengkaryaan Haron mencerminkan betapa beliau menghargai warisan binaan yang terdapat di Malaysia. Beliau dengan cermat melukiskan seni bina tradisional dan warisan—rumah ibadat, bangunan-bangunan sewaktu dan sebelum zaman penjajahan—kemudian mencantumkan gambaran-gambaran tersebut dengan para penghuninya.

Maklumat
Media:
Akrilik atas kanvas
Dimensi:
105.5 x 75 cm
Tarikh:
2012
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Haron Mokhtar
Tentang Haron Mokhtar

Minat kesenian Haron Mokhtar (l. 1963. Sungai Besar, Selangor, Malaysia) tertumpu kepada budaya dan seni bina Melayu. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dalam pengkhususan Lukisan dan Percetakan dari Institut Teknologi MARA. Beliau juga memegang Diploma Pendidikan Seni yang membolehkan beliau mengajar seni di pelbagai institut di Selangor dan Sarawak. Beliau mendapat Anugerah Utama di Young Contemporaries (1987) dan Hadiah Pertama di ITM Art Competition (1988). Karya-karya bersiri beliau telah dipamerkan di pelbagai pameran solo seperti di: Siri Kaseh Sayang, Galeri Shah Alam (1995); In Pursuit of Penang, The Artists Space, Hotel Concorde (1999); Siri Atas Bawah Pusaka, Pelita Hati (2005); Siri Sutera Mengadap Tuanku Sultan, Istana Mestika (2009); Siri Warisan, Pelita Hati (2011); Yesteryear Part I, dan Yesteryear Part 2, Interpr8 Art Space (2015) dan karya retrospektif yang berjudul Mokhtar: Kapsul Masa 1988-2018, di Galeri Shah Alam (2018).