Art Detail | Ilham Gallery
Tasneem's Bike
 TAMBAH KE ALBUM
Tasneem's Bike
2012

Rafiee Ghani memaparkan sebuah ruang intim di dalam rumah dan membingkai ruang itu dengan melukis langsir di kiri dan kanan kanvas. Tanpa satu titik fokus yang jelas, latar belakang berwarna merah tua, yang merangkumi kedua-dua dinding dan juga lantai, berperanan menggabungkan imej-imej perabot, tumbuhan, tekstil dan hiasan yang diolah separa abstrak. Sesetengah objek itu kelihatan terapung-apung, tetapi siluet meja teh di latar depan dan pintu pagar menunjukkan bahawa satu peristiwa telah belaku secara berurutan di dalam bilik ini.

 

Karya-karya Rafiee Ghani berfungsi sebagai diari visual yang merakamkan kembara-kembara yang dilakukannya serta pemandangan yang dilihatnya ketika mengembara di seluruh dunia. Dengan menggabungkan pengaruh gaya Intimisme dan warna-warna terang, Rafiee Ghani meluahkan rasa kagumnya terhadap lukisan Henri Matisse yang berpengaruh besar bertajuk The desert: Harmony in red (The red room) dan sekali gus memberi penghormatan kepada pelukis-pelukis dari gerakan Nabi, Fauvisme dan Impresionisme di Perancis yang amat beliau kagumi.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kanvas
Dimensi:
26 x 20 x 77 cm
Tarikh:
2012
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Rafiee Ghani
Tentang Rafiee Ghani

Karya-karya Rafiee Ghani (l. 1962, Kulim, Kedah, Malaysia) diinspirasikan oleh kehidupan yang dilaluinya dan kembara-kembara yang dilakukannya. Beliau menyatakan minatnya terhadap seni dan aktiviti mengembara datang daripada bapanya – seorang ahli geologi yang sering mengirim poskad kepada Rafiee yang masih kecil dari lokasi-lokasi menarik tempatnya bekerja. Rafiee pada mulanya menerima pendidikan kreatif di Vrije Academie voor Beeldende Kunst di Holland pada tahun 1980. Beliau kemudiannya memperolehi Diploma dalam bidang Seni Halus dan Seni Reka dari Institut Teknologi MARA dan ijazah Sarjana dalam jurusan Cetakan Halus dari Manchester Polytechnic di United Kingdom. Sehingga kini karya-karya Rafiee Ghani telah ditampilkan dalam pelbagai siri dan pameran solo, termasuklah Adventure in Wonderland, Homeland, Desert Rose, Perfumed Gardens dan Oriental Afternoon.

Bacaan Selanjutnya

  • The Tale of Rafiee Ghani's Moroccan Journey. 2017. Muliyadi Mahamood.

  • Perfumed Gardens. 2012. Galeri Chandan.

  • Oriental Afternoon. 1994. Art Salon, Kuala Lumpur.

Bahagian Pembelajaran

  • Terangkan apa yang anda nampak dalam lukisan ini. Warna-warna apakah yang lebih dominan? Apakah warna-warna lain yang digunakan dan di mana letaknya? Apakah objek-objek yang anda kenal dalam babak ini? Di manakah basikal seperti mana yang disebut? Apakah yang luar biasa tentang sudut pandang lukisan ini? Apakah yang terdapat di latar depannya? Apakah pula yang terdapat di latar belakangnya? Dalam lukisan ini, pelukisnya tidak menggunakan sudut pandang bagi menghasilkan ilusi ruang, namun tetap ada rasa kedalamannya. Bagaimanakah pelukis ini melakukannya?

  • Adakah anda tahu tentang lukisan “The Red Room” karya seniman Perancis, Henri Matisse? Apakah persamaannya dengan karya ini? Apakah pula perbezaannya?

  • Adakah lukisan ini mengingatkan anda terhadap rumah anda atau rumah orang yang rapat dengan anda? Jenis apakah rumah ini? Apakah suasana yang terdapat pada rumah ini?