Art Detail | Ilham Gallery
Kinabalu Memories II
 TAMBAH KE ALBUM
Kinabalu Memories II
1996

Di atas kanvas ini, Jolly Koh merakamkan pemandangan Gunung Kinabalu yang menakjubkan dengan menggunakan warna cat minyak yang cair. Rona-rona warna hijau yang harmoni dilukis dengan sapuan berus yang ekspresif lagi lembut. Warna-warna itu berpadu dengan lancar di seluruh kanvas, lalu memperlihatkan ketebalan serta kepadatan tumbuh-tumbuhan yang hidup subur di sekitar gunung tersebut. Dengan menggunakan warna biru kobalt tua, Jolly Koh menarik perhatian penonton kepada siluet banjaran gunung yang hebat dan agung itu yang terbentang di kaki langit, seraya menimbulkan suasana tenang lagi damai.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kanvas
Dimensi:
122 x 91 cm
Tarikh:
1996
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Jolly Koh
Tentang Jolly Koh

Jolly Koh (l.1941) dilahirkan di Singapura dan dibesarkan di Melaka. Koh seorang pelukis dan teoritikawan seni dengan minat khusus terhadap teori “warna” dan amat dikenali kerana karya-karya ekspresifnya yang secara bijak meneroka warna dan ruang. Beliau mengikuti pengajian seni di Hornsey College of Art di London dari tahun 1960 hingga 1962 dan selepas itu kursus pendidikan seni selama setahun di Institute of Education, Universiti London. Sekembalinya ke Malaysia, beliau mengajar di sebuah sekolah menengah di Melaka sebelum berkhidmat sebagai pensyarah di Sekolah Seni dan Seni Bina yang baru ditubuhkan di Institut Teknologi MARA (kini UiTM). Pada tahun 1971, beliau dianugerahkan Biasiswa Fulbright untuk menyambung pengajian di Universiti Indiana, Amerika Syarikat dan memperolehi ijazah kedoktoran dalam pendidikan seni pada tahun 1976. Beliau seorang pendidik yang disegani dan pernah mengajar di Amerika Syarikat, Australia dan Malaysia. Karya-karya beliau terdapat dalam beberapa koleksi awam dan korporat di Malaysia, Singapura, Australia dan Amerika Syarikat.

Bahagian Pembelajaran
  • Gunung Kinabalu merupakan sebuah gunung yang tertinggi di Malaysia. Dapatkah anda cam gunung tersebut dalam lukisan ini? Adakah lukisan ini nampak seperti dilukis berdasarkan pemandangan sebenar, gambar, ataupun ingatan? Kenapa anda berfikir sedemikian?

  • Lukisan pemandangan sangat popular dalam kalangan pelukis. Mereka seringkali melukis pemandangan yang tiada kelibat manusia. Adakah suasana seperti itu masih wujud hari ini? Wujudkah tempat-tempat di Malaysia yang membolehkan anda bersendiri dalam pemandangan sedemikian? Apakah perasaannya? Apakah yang boleh kita lakukan untuk memelihara tempat-tempat sedemikian? Berbaloikah untuk dipelihara? Kenapa?