Art Detail | Ilham Gallery
Pago Pago
 TAMBAH KE ALBUM
Pago Pago
1969

Selepas pulang dari Jerman setelah menamatkan pengajian di Akademi Seni Halus, Berlin, Latiff mengembara merentasi Asia Tenggara ke Kemboja, Laos, Thailand dan Indonesia. Kembara ini membuahkan siri Pago Pago (1950-1969). Siri ini menampilkan pelukisan secara abstrak unsur seni bina dan budaya di Asia Tenggara. Diambil daripada perkataan Jerman Pagoden (pagoda) dan Pagar dan diilhamkan oleh kecenderungan orang Melayu untuk mengulang kata, Latiff mencipta istilah Pago Pago bagi menggambarkan cara modenisme Barat berjalin dengan pelbagai unsur pengaruh Asia Tenggara. Karya yang ditampilkan di sini mewakili peringkat terakhir siri Pago Pago. Bentuk-bentuk nampak lebih gemalai, meliuk dan berpecah-pecah berbanding dalam karya-karya sebelumnya. Kekuatan tema yang ketara masih dikekalkan meskipun dilembutkan sedikit bagi menandakan berakhirnya siri Pago Pago ini. 


"Saya hanya menggunakan perkataan dari amalgam 'pagoda' dan slanga 'pagar' yang tidak bermaksud 'pagar' tetapi alur kayu yang terdapat di rumah Melayu lama. Pago juga adalah sebuah nama pulau eksotik walaupun saya tidak pernah sampai ke sana."

- Latiff Mohidin, temuramah bersama Ooi Kok Chuen


"Untuk Latiff, ekspresi monumen terhasil dari Hindu-Buddha purba menarik beliau membangunkan perbendaharaan piktorial baru. Dengan monumen ini, beliau dihadapkan dengan situasi di mana kesatuan alam semulajadi dan budaya membentuk entiti penuh emosi; sekurang-kurangnya, beliau melihat dari pandangan yang disadur emosi ini, menyusun persepsi dan membentuknya sebagai konfigurasi baru. Inilah kunci kepada kedudukan Latiff; terus-menerus mencipta kembali Nusantara dan Asia Tenggara dengan tujuan membentuk bahasa visual yang segar."

- T.K. Sabapathy, Pago-Pago to Mindscape, 1994

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kanvas
Dimensi:
87 x 64 cm
Tarikh:
1969
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Abdul Latiff Mohidin
Tentang Abdul Latiff Mohidin

Abdul Latiff Mohidin (lahir 1941, Negeri Sembilan) seorang pelukis, penulis dan penyajak modenis Malaysia yang terkenal. Beliau menamatkan pendidikan rendahnya di Sekolah Melayu Kota Raja di Singapura, di mana beliau juga mengadakan pameran pertamanya pada tahun 1951. Pada tahun 1960 -1964, Latiff belajar seni di Hochschule fur Bildende Kunste (Kolej Seni Halus) di Berlin, Jerman. Beliau juga belajar seni cetak di Atelier Lacouriѐre di Paris, dan bawah biasiswa John D. Rockefeller III di Pratt Graphic Center di New York. Kembara Asia Tenggara beliau pada tahun 1964 memberi inspirasi kepada berbagai karya seninya. Siri karyanya termasuk Pago-Pago (1960-1969), Mindscape (1973, 1974-1983), Langkawi (1976-1980) dan Gelombang (1985-1993). Beliau telah mempamer di seluruh dunia, seperti di Berlin, Frankfurt, Bangkok, Singapura, New Delhi, New York, Sydney, Osaka, Montreal, Manila, Jakarta, Dublin dan London. Pada 2018, beliau menjadi artis Asia Tenggara pertama mempamer di Centre Pompidou di Paris. Latiff menetap di Pulau Pinang.

Sumber: Wikipedia

Bahagian Pembelajaran
  • Apakah reaksi pertama anda apabila melihat lukisan ini? Pilih tiga perkataan untuk menjelaskannya. Apa yang anda lihat? Cuba terangkan tentang lukisan ini seperti anda sedang menerangkan kepada seseorang yang tidak dapat melihatnya. Apakah elemen-elemen penting dalam lukisan ini? Terangkan warnanya, bentuknya, coraknya, serta anginnya (mood).

  • Apakah bentuk-bentuk yang anda kenal dalam lukisan ini? Baca teks penerangan yang disediakan. Adakah maklumat yang anda baca itu mengubah cara pandang anda terhadap lukisan tersebut? Pentingkah untuk mengetahui konteks sesebuah lukisan itu dihasilkan?

  • Bandingkan lukisan ini dengan lukisan lain Latiff Mohidin iaitu Gelombang. Adakah kedua-duanya nampak seperti dilukis oleh seniman yang sama? Apakah persamaan dari segi penggunaan warna? Terdapatkah persamaan dari segi cara berusan? Bagaimana pula dengan subjek atau isi lukisan tersebut? Adakah anda rasa bahawa seseorang pelukis itu perlu mengekalkan gaya yang sama dalam karyanya? Cari pelukis-pelukis yang memiliki lebih dari satu karya dalam koleksi ini. Bolehkah anda kenal pasti elemen-elemen gaya mereka atau adakah setiap karya berbeza antara satu sama lain?