Art Detail | Ilham Gallery
Image on Rhythm
 TAMBAH KE ALBUM
Image on Rhythm
1964

Dilukis di atas papan dengan menggunakan cat minyak, catan abstrak Cheong Laitong ini sangat ekspresif dengan coretan-coretan yang besar lagi bertenaga. Coretan dibuat dengan gerakan penuh emotif yang bermain dengan ketegangan antara pergerakan dan permukaan. Karya yang sedikit sebanyak berunsur kaligrafi ini memperlihatkan warna-warna gelap digabungkan di atas latar belakang berwarna kuning terang untuk menggambarkan intensiti visual dari gelombang bunyi bising yang terhasil daripada sebuah irama rancak. Karya ini pernah ditampilkan dalam pameran penting GRUP pada tahun 1967 dan ia merupakan salah sebuah karya yang memperkenalkan estetika moden dan gaya antarabangsa yang baharu ke dalam arena seni rupa tempatan di Malaysia yang sudah mencapai kemerdekaan.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas papan
Dimensi:
244 x 163 cm
Tarikh:
1964
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Cheong Laitong
Tentang Cheong Laitong

Cheong Laitong dilahirkan pada tahun 1932 di China dan berhijrah ke Malaysia pada tahun 1937. Sebagai salah seorang pelukis yang memberi sumbangan terawal kepada seni moden Malaysia, beliau serta pelukis-pelukis sezamannya menonjolkan diri mereka sebagai seniman “avant-garde” dalam lingkungan komuniti seni di Kuala Lumpur pada tahun 1960-an dan mereka memiliki kecenderungan ke arah gaya ekspresionisme abstrak. Pada tahun 1961, beliau diberikan biasiswa untuk belajar di Skowhegan School of Painting and Sculpture di Maine, Amerika Syarikat sebelum melanjutkan pengajiannya dalam bidang pendidikan seni di Central School of Arts and Crafts di London. Beliau adalah salah seorang ahli dan kemudiannya presiden Wednesday Art Group. Laitong terkenal kerana mereka bentuk mural mozek bersaiz besar yang dipasang di bahagian hadapan Muzium Negara Kuala Lumpur. Pada tahun 1960-an juga Laitong bekerja dengan syarikat Rothman’s sebagai Pengarah Kreatif, jawatan yang disandangnya dari tahun 1963 hingga 1992. Beliau pernah memenangi pelbagai anugerah, termasuklah tempat pertama dalam pertandingan Salon Malaysia pada tahun 1969 dan 1979. Karya-karya beliau telah dipamerkan di Malaysia, India, United Kingdom, Kanada dan Jepun.

Bacaan Selanjutnya
  • Cheong Laitong, Selected Works from 1960 - 2004, NN Gallery, 2004.

  • T.K. Sabapathy, ‘Merdeka Makes Art, Or Does It?’ Vision and Idea: ReLooking Modern Malaysian Art, ed. T.K. Sabapathy, Kuala Lumpur: National Art Gallery, 1994. 

  • Simon Soon, ‘Notes on GRUP’, Gerak, Rupa, Ubah, Penyataan 1957-1973,  ILHAM Gallery, 2017. 

  • Modern Artists of Malaysia, T.K. Sabapathy, Redza Piyadasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983.

Bahagian Pembelajaran

  • Apakah yang anda lihat dalam lukisan ini? Bagaimanakah penggunaan warnanya? Bagaimana cara pelukisnya mencontengkan cat? Apakah tanda-tanda yang beliau hasilkan?  Terangkan tentang garisan-garisan yang anda lihat di dalam lukisan tersebut. Apakah bentuk-bentuk yang anda dapat lihat? Apakah yang anda fikir apabila melihat bentuk-bentuk tersebut?

  • Judul lukisan ini menggabungkan muzik dan irama. Apakah jenis muzik yang dicerminkan oleh lukisan ini? Adakah ianya muzik kontemporari atau klasik? Barat atau tradisional? Bising atau lembut? Apakah alat-alat muzik yang dimainkan? Berapa banyak? Bolehkah anda hasilkan bunyi berdasarkan irama dari lukisan tersebut dengan mengetuk-ngetuk meja menggunakan jari atau pensel anda?

  • Sukar untuk kita lukiskan pergerakan dengan sekali buat. Pada kebiasaannya, kalau kita ingin melukis sesuatu figura, kita akan meminta model tersebut untuk bergaya secara pegun. Apa kata anda jawab karya seniman tersebut dengan melukiskan satu figura yang bergerak. Pilih model anda, baik kawan ataupun keluarga. Minta model tersebut untuk bergerak secara perlahan-lahan. Arahkan model tersebut untuk berhenti seketika selama 30 saat bagi setiap langkah. Dalam masa 30 saat ini, lukiskan figura tersebut tanpa melihat kertas lukisan anda. Apabila mereka bergerak, lukiskan pergerakan baharu itu di atas lukisan awal. Teruskan melukis sehingga siap dan model anda sudah berhenti berjalan.