Art Detail | Ilham Gallery
Banyan Tree, 63
 TAMBAH KE ALBUM
Banyan Tree, 63
1963

Dalam lukisan pastel minyak ini, Patrick Ng Kah Onn memaparkan pemandangan abstrak pokok-pokok beringin yang kemungkinan diilhamkan oleh lawatan beliau ke India pada Januari 1963 dan karya ini dipamerkan dua bulan selepas itu dalam pameran solo beliau di British Council, Kuala Lumpur. Karya ini dilukis dengan warna-warna tanah dan sapuan-sapuan garisan yang terkawal dan bertindan-tindih. Beliau menyuntik elemen pergerakan pada pokok kebangsaan India ini untuk menunjukkan seolah-olah alam sedang menari. Pokok beringin juga tumbuh di banyak kawasan di Asia Tenggara dan muncul dalam pelbagai mitos, teks dan kitab suci purba. Dengan dahan-dahannya yang saling berjalin dan akar-akarnya yang lebat, pokok beringin juga melambangkan perpaduan dalam kepelbagaian, iaitu sentimen yang sering dipaparkan oleh pelukis ini dalam karya-karyanya.

Maklumat
Media:
Pastel minyak atas kertas
Dimensi:
45 x 59 cm
Tarikh:
1963
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Patrick Ng Kah Onn
Tentang Patrick Ng Kah Onn

Dilahirkan di Kuala Lumpur, Patrick Ng Kah Onn (1932–1989) merupakan salah seorang pelukis perintis seni moden Malaya dan anggota yang turut terlibat dalam penubuhan Wednesday Art Group, kumpulan pelukis yang dimulakan oleh Peter Harris. Karya-karya beliau menampilkan gaya yang menekankan penggunaan garisan dan elemen dekoratif, di samping memaparkan ciri-ciri serta aspek-aspek penting yang wujud di rantau ini dengan pelbagai sensibilitinya – yang paling diingati ialah lukisan ikonik yang beliau hasilkan pada tahun 1958 bertajuk Spirit of The Earth, Sky and Water yang mengutarakan konsep mistikal dan menggabungkan sistem-sistem kepercayaan yang kompleks yang ada di rantau ini. Beliau belajar seni lukis atas usaha sendiri dan mula mendapat perhatian setelah karya beliau berjudul Batek Malaysia memenangi tempat pertama dalam Pertandingan dan Persidangan Seni Asia Tenggara Pertama di Manila pada tahun yang sama Malaysia mencapai kemerdekaan. Pada tahun 1963, beliau mengadakan pameran solonya yang pertama di British Council, Kuala Lumpur. Pameran itu menampilkan lima puluh buah karya yang dilukis dengan cat air, pastel, lilin, arang dan dakwat India berdasarkan lawatan beliau ke India. Beliau menerima biasiswa China-British untuk belajar di Hammersmith College of Art, London pada tahun 1964 dan selepas itu melanjutkan pengajian dalam bidang Seni Halus di Wimbledon and Southlands College of Education, London, pada tahun 1966. Selepas tamat pengajian, beliau tinggal menetap di London dan mengajar di tempat beliau pernah belajar dulu sebelum meninggal dunia pada usia muda pada tahun 1989.


Bacaan Selanjutnya

  • Redza Piyadasa, 'On origins and beginning,' Vision and Idea: ReLooking Modern Malaysian Art, ed. T.K. Sabapathy, Kuala Lumpur: National Art Gallery, 1994. 

  • Simon Soon, ‘Fabric and the Fabrication of a Queer Narrative: The Batik Paintings of Patrick Ng Kah Onn,’ Intersections: Gender and Sexuality in Asia and the Pacific. Issue 38, 2015. http://intersections.anu.edu.au/issue38/soon.html#n32 

Bahagian Pembelajaran

  • Terangkan apa yang anda lihat di dalam lukisan ini. Apakah warna-warna yang dapat anda lihat? Adakah sesetengah warnanya lebih dominan daripada warna-warna yang lain? Apakah warna-warna yang tidak digunakan di dalam lukisan ini. Apakah bentuk-bentuk yang dapat anda perhatikan di dalam lukisan ini? Adakah anda kenal dengan bentuk-bentuk ini? Nama lukisan ini menjelaskan kepada kita bahawa lukisan ini adalah lukisan pokok. Akan tetapi, adakah ianya mengingatkan anda terhadap perkara lain? Ketika anda mula-mula melihat lukisan ini, adakah anda nampak pokok?

  • Berdasarkan namanya, kita tahu bahawa lukisan ini adalah sebuah lukisan pokok Beringin (Banyan) yang merupakan pokok kebangsaan negara India. Pokok ini juga biasa ditemui di pelbagai tempat lain di Asia. Adakah lukisan ini nampak seperti pemandangan Asia? Apakah perbezaan pemandangan di Asia dan tempat-tempat lain di dunia?