Art Detail | Ilham Gallery
Hantu
 TAMBAH KE ALBUM
Hantu
1984

Dengan daya kepekaan seperti kanak-kanak yang selalu dikaitkan dengan dirinya, Dzulkifli Buyong mengungkapkan kenakalan serta keriangan zaman kanak-kanak menerusi hal-hal yang unik dan menarik yang berlaku sehari-hari. Lukisan berwarna-warni ini, yang turut menyentuh tentang tradisi hantu yang wujud dalam cerita rakyat dan mitos orang Melayu, menunjukkan tiga orang kanak-kanak di dalam bilik tidur di rumah. Dua orang kanak-kanak, kemungkinan besar adik-beradik, dipaparkan sedang berbaring di atas katil manakala seorang lagi kanak-kanak, dengan kepalanya ditutupi kain pelikat kuning dan hanya matanya yang kelihatan, berdiri di sisi mereka seraya berpura-pura menjadi hantu untuk menakut-nakutkan mereka. Sementara budak lelaki itu berdiri di samping dua adik-beradik tersebut, kanak-kanak perempuan itu mengintai dengan hati-hati menerusi kain selimut dan adik lelakinya pula memegangnya kerana ketakutan. Warna-warna terang pada pakaian mereka, yang diserlahkan lagi oleh beraneka corak petak dan bunga, menarik perhatian penonton. Penekanan diberikan kepada subjek kanak-kanak sedang bermain dengan komposisi latar belakang yang ringkas lagi mudah. Bentuk figura dilukis dengan cara yang agak berlebih-lebihan bagi menonjolkan postur badan serta menjadikan lukisan ini nampak indah dan menarik; gaya pelukisan tubuh yang kurus dan panjang ini adalah hasil pengaruh daripada Wednesday Art Group dan dapat dilihat mempunyai persamaan dengan gaya lukisan Patrick Ng Kah Onn.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kayu
Dimensi:
135.5 x 80 cm
Tarikh:
1984
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Dzulkifli Buyong
Tentang Dzulkifli Buyong

Dzulkifli Buyong (1948–2004) dilahirkan di Kuala Lumpur. Beliau belajar melukis atas usaha sendiri dan merupakan salah seorang anggota utama kumpulan seni Wednesday Art Group. Kebanyakan karya beliau memaparkan imej kanak-kanak Malaysia sedang bermain sebagai cara untuk merayakan keseronokan serta ketulusan zaman kanak-kanak dalam pelbagai konteks sehari-hari yang selalunya didorong oleh semangat komuniti. Dzulkifli Buyong disanjung sebagai kanak-kanak yang berbakat luar biasa dan beliau pernah memenangi beberapa anugerah dalam pertandingan seni di seluruh negara sejak berusia 14 tahun. Dari tahun 1961 hingga 1965, beliau menuntut di Victoria Institution dan mendapat bimbingan daripada pelukis Malaysia, Patrick Ng. Sepanjang beberapa tahun tersebut, beliau menyertai pameran-pameran anjuran Wednesday Art Group, Arts Council dan Balai Seni Lukis Negara. Pada hujung tahun 1960-an, beliau dihantar ke Jepun untuk belajar selama tiga tahun di sana. Karya beliau juga pernah dua kali dipamerkan di luar negara, iaitu dalam pameran ‘Contemporary Art of Asia’ dan ‘Exhibition of Malaysian Art for Australia’ pada tahun 1965. Pada tahun 1991, beliau menyertai Pameran Terbuka yang dianjurkan oleh Balai Seni Lukis Negara.

Bacaan Selanjutnya
  • Modern Malaysian Art: From the Pioneering Era to the Pluralist Era, 1930s-1990s, Muliyadi Mahamood.

  • Modern Artists of Malaysia, T.K Sabapathy & Redza Piyadasa, ed. Dewan Bahasa & Pustaka Ministry of Education, Malaysia 

Bahagian Pembelajaran

  • Jelaskan tentang tiga figura yang terdapat dalam lukisan ini? Apakah yang sedang berlaku? Apakah yang sedang dirasai oleh setiap daripada mereka? Apakah hubungan mereka? Adakah mereka rapat? Adakah mereka semua sedang berseronok dengan permainan itu? Anggap bahawa lukisan ini merupakan satu rakaman suatu masa, apakah yang mungkin akan terjadi selepas itu?

  • Lukisan ini menggambarkan salah seorang adik-beradik sedang menyamar menjadi hantu untuk menakut-nakutkan adik-beradiknya yang lain. Pernahkah anda bermain permainan ini dengan adik-beradik, sepupu, atau kawan-kawan anda? Adakah lukisan ini mengembalikan segala ingatan anda, baik yang gembira ataupun sedih? Antara ketiga-tiga figura ini, yang manakah anda rasa lebih dekat dengan diri anda? Jelaskan kenapa?