Art Detail | Ilham Gallery
Solitude
 TAMBAH KE ALBUM
Solitude
1999

Segmen-segmen beraneka warna terang bergabung dalam lukisan abstrak ini untuk menggambarkan penerokaan unik ke atas ruang minda yang dibuat oleh Sharifah Fatimah Syed Zubir. Dalam karya Solitude ini, beliau memaparkan interaksi dinamik antara warna biru, hijau, kuning dan merah menerusi pelbagai komposisi bentuk-bentuk yang bersifat geometrik tetapi organik bagi mengungkapkan reaksi dalaman terhadap keadaan kesendirian dan kesunyian. Usaha Sharifah Fatimah meneroka dan mencari sebuah identiti seni sangat berkait rapat dengan ajaran Islam yang dipegangnya.

Maklumat
Media:
Akrilik atas kanvas
Dimensi:
93 x 56 cm
Tarikh:
1999
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Sharifah Fatimah Syed Zubir
Tentang Sharifah Fatimah Syed Zubir

Sharifah Fatimah Zubir (l. 1948) dilahirkan di Alor Setar, Kedah. Seorang pelukis abstrak yang ulung, beliau terkenal kerana menggunakan secara eksperimental bahan-bahan dan kaedah-kaedah yang tidak konvensional. Beliau merupakan salah seorang daripada kelompok pertama pelajar Seni Halus yang mendaftar di Institut Teknologi Mara pada tahun 1967. Beliau kemudiannya menyambung pengajian di Universiti Reading di England pada tahun 1973 dan memperolehi ijazah dengan kepujian kelas pertama. Di bawah program biasiswa John D Rockefeller III Fund, beliau melanjutkan pengajian di Pratt Institute, New York pada tahun 1976 dan berjaya mendapat ijazah sarjana dalam bidang Seni Halus. Sharifah Fatimah pernah memenangi pelbagai anugerah seni, termasuklah Anugerah Utama dalam pertandingan Salon Malaysia pada tahun 1979 dan Bakat Muda Sezaman pada tahun 1981. Karya beliau telah dipamerkan di Museum of Modern Art, New York, Sharjah Art Museum di Emiriah Arab Bersatu dan Singapura Art Museum. Bagi mengenang sumbangan yang telah dicurahkannya, beliau dianugerahkan gelaran Dato' oleh Sultan Kedah pada tahun 2006. Pada tahun 2017, sempena menyambut ulang tahun ke-50 kerjayanya sebagai pelukis, beliau mengadakan pameran solo bertajuk Song of Eucalyptus di Segaris Art Centre, Kuala Lumpur. 

Bacaan Selanjutnya

Bahagian Pembelajaran

  • Apakah tindak balas pertama anda terhadap lukisan ini? Tuliskan tiga kata sifat yang mencerminkan lukisan ini. Tuliskan tiga kata kerja yang dapat dikaitkan dengan lukisan ini. Apakah soalan-soalan yang anda fikirkan tentang lukisan ini? Fikirkan tiga soalan berkaitan karya ini yang anda ingin tanyakan kepada seniman tersebut.

  • Terangkan apa yang anda lihat dalam lukisan ini. Apakah warna-warna yang digunakan? Terdapatkah warna-warna yang dominan? Apakah warna-warna lain yang digunakan dan di mana? Bentuk-bentuk apakah yang dapat anda lihat dalam lukisan ini? Apakah bentuk-bentuk yang anda kenal? Bagaimanakah seniman ini bermain dengan cahaya dalam lukisan ini? Di manakah bahagian-bahagian yang lebih gelap daripada yang lain? Di manakah letaknya bahagian-bahagian yang lebih cerah?

  • Apakah suasana yang terpancar dari lukisan ini? Apakah perasaan yang dihasilkan? Adakah ianya membuatkan anda terfikirkan sesuatu? Adakah ianya mengingatkan anda terhadap sesuatu? Pada pendapat anda, kenapakah seniman ini menamakan lukisan ini sebagai Solitude? Kalau anda ingin memberi judul lain, apakah judul tersebut?