Art Detail | Ilham Gallery
Metamorphosis
 TAMBAH KE ALBUM
Metamorphosis
1997

Karya Metamorphosis ini memberikan penghormatan kepada novel asli dengan tajuk yang sama oleh penulis Jerman, Franz Kafka (1883-1924). Novel The Metamorphosis (1915) mengisahkan tentang seorang jurujual yang bergerak dari tempat ke tempat bernama Gregor Samsa yang bangun pada satu pagi selepas mengalami mimpi buruk dan menyedari dirinya sudah bertukar menjadi seekor makhluk besar seperti serangga. Gabungan unsur nyata dan khayalan oleh Kafka ini, di samping pelbagai tulisan dan lukisan Alfred Kubin (yang pada gilirannya mengilhamkan Kafka untuk menulis The Castle (1926)), menjadi sumber ilham awal kepada Ilse pada zaman mudanya.


Dalam cerita Kafka itu mengikut versi Ilse ini, tiada paparan mengenai perubahan manusia kepada makhluk serangga. Sebaliknya, cetakan goresan Ilse ini memaparkan rangka seekor serangga yang terkulai di latar bawah dan dari ekornya muncul seekor lagi serangga yang berdiri tegak. Perhatian kita ditarik kepada keindahan serangga yang terapung ini. Ia digores dengan lebih padat bagi menghasilkan perbezaan dengan serangga yang terkulai itu yang kelihatan lutsinar dan hampir menghilang. Ilse mengolah pemandangan yang diselubungi aura ini dengan berlatarkan gubahan daun dan batu berunsur arca di sebelah kanan latar tengah. Satu bentuk tegak yang tidak jelas diletakkan di hujung sebelah kiri latar belakang; ia barangkali bayang kepada pemandangan yang berlaku di latar hadapan atau sejenis lagi haiwan aneh yang menanti untuk dikenal pasti. Karya goresan ini memperlihatkan kekaguman Ilse yang berterusan terhadap pemandangan, haiwan dan benda yang bersifat mitos.

Maklumat
Media:
Cetakan goresan atas kertas
Dimensi:
39.5 x 35 cm
Tarikh:
1997
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Ilse Noor
Tentang Ilse Noor

Ilse Noor (l. 1941, Wipperfuerth, Jerman Barat) merupakan seniman grafik terkemuka yang terkenal kerana karya-karya cetakan goresannya yang berunsur separa autobiografi. Karya-karya Ilse selalunya menampilkan pemandangan, haiwan, bangunan atau benda yang dijalinkan dengan minatnya terhadap sastera, sejarah, dongeng dan legenda Jerman serta Asia Tenggara. Pada usia enam belas tahun beliau belajar reka bentuk grafik pada mulanya di bawah bimbingan W. M. Stucke di Bonn, kemudian di Kolej Seni di Cologne dan akhirnya di Akademi Seni Halus di Munich dari tahun 1963 hingga 1964. Di sana beliau belajar seni grafik dan lukisan di bawah bimbingan Profesor Franz Nagel dan meraih anugerah pertama dalam seni lukis dari Akademi tersebut. Semasa tempoh inilah Ilse bertemu dengan seorang rakyat Malaysia yang menjadi suaminya dan kemudian berhijrah ke Malaysia pada tahun 1974. Ilse telah berpameran dalam lebih daripada 100 buah pameran berkumpulan dan solo di seluruh dunia. Beliau juga pernah menulis tiga buah buku dan menghasilkan ilustrasi untuk poster, majalah dan buku kanak-kanak, termasuklah sebuah buku terbitan Oxford University Press. Beliau menerima tempahan untuk membuat karya dari pelbagai pihak termasuklah Syarikat Shell Malaysia (1985), Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor (1992) dan Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (1997). Sebanyak 24 cetakan goresan bangunan bersejarah yang dihasilkan beliau atas tempahan Syarikat Shell telah diterbitkan sebagai buku bertajuk Warisan Nusa Shell Book of Malaysian Heritage (1991). Buku ini mengandungi penulisan Ilse mengenai pengalamannya dengan berbagai-bagai bangunan serta tempat di Malaysia. Karya beliau terdapat dalam koleksi galeri, muzium dan bank di beberapa negara termasuklah Malaysia, Jerman, Mesir, Perancis dan Bosnia. 

Bacaan Selanjutnya

  • Sharifah Shida al-Attas, SAMUDRA: Gurisan Oleh Ilse Noor / Etchings by Ilse Noor, exhibition catalogue (Kuala Lumpur: Galeri Petronas, 2002), pp. 41-5.

  • Natalie Noor-Drugan, “Enigma: Ilse Noor’s world of paradox, mystery and conundrum”, in Project Room (2004), ed. Project Room Fine Art Gallery, https://issuu.com/fitrizulkifli/docs/project_room_detail2 

  • Ilse Noor, artist’s website, https://www.ilsenoor.com/ 

Bahagian Pembelajaran

  • Teliti gambar serangga dan bangkai yang telah tertanggal itu. Terangkan apa yang anda lihat? Apakah kata sifat yang boleh digunakan untuk mencerminkan kedua-dua tubuh tersebut? Apakah perincian yang dimasukkan? Apakah kaedah cahaya yang beliau gunakan? Apakah elemen-elemen yang lebih cerah? Di manakah letaknya bayang-bayang dan bahagian gelap dalam gambar ini? Apakah suasana keseluruhan karya ini? Adakah anda rasa karya seni ini optimistik atau pesimistik?

  • Metamorfosis merupakan tema yang biasa ditemui dalam seni dan sastera. Kenapakah sedemikian? Menurut anda, mampukah manusia melakukan perubahan radikal? Apakah faktor-faktor yang mengarah kepada perubahan? Berdasarkan pengalaman anda, adakah perubahan sesuatu yang baik?