Art Detail | Ilham Gallery
Bubbles
 TAMBAH KE ALBUM
Bubbles
2007

Seorang wanita (diri artis?) digambarkan menenggek atas bangku sambil mengawal bebola gelembung atas kekaki dengan tangan kiri dan siku kanannya. Ia merenung kita dengan tenang. Suasana lengang dengan hanya kehadiran beberapa gelembung belon kecil di latar belakang. 

Simbolisme gelembung tidak pasti, walaupun motif yang sama muncul juga dalam sebuah lukisan lain olehnya bertajuk ‘Rusa’ (2013), di mana seekor rusa serta gelembung besar dan kecil dipapar dalam suasana landskap fantasi. 

Mungkin, apa yang ditawarkan kepada pemerhati di sini bukan sekadar imej fizikal figura, tetapi sebuah paparan tentang peribadi pelukis sendiri untuk ditafsir.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kanvas
Dimensi:
94 x 74 cm
Tarikh:
2007
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Noor Mahnun Mohamed
Tentang Noor Mahnun Mohamed

Noor Mahnun Mohamed (lahir 1964, Kelantan), belajar di Hochschule für Bildende Künste di Braunschweig, Jerman, dengan ijazah Sarjana Seni Halus (1996). Pada tahun 2003, beliau diberi biasiswa kerajaan Itali untuk belajar seni cetak di International School of Print and Graphic Il Bisonte, Florence, Itali.

Beliau adalah artis Residensi Rimbun Dahan,tahun 2000, dan Artis Residen Suruhanjaya Tinggi Australia di Studio Gunnery di Sydney, 2005. Pernah bertugas sebagai kurator di Valentine Willie Fine Art (2003–2005); Pengurus Program Residensi Seni Rimbun Dahan (2006–2012); Pengajar Kritikan Seni dan Pengajian Profesional di Institut Seni Malaysia; Komunikasi Visual dan Reka Bentuk di Jabatan Seni Bina, Fakulti Alam Bina & Sains, Universiti Malaya. Dia menerima Asian Public Intellectual Fellowship (2012–2013) di bawah Nippon Foundation Grant, untuk mengkaji seni cetak di Jepun. Beliau telah mengadakan beberapa pameran solo dan berkumpulan, dalam dan luar negara.

Bacaan Selanjutnya
Bahagian Pembelajaran
  • Terangkan tentang wanita yang terdapat di dalam lukisan ini. Apakah yang beliau pakai? Seperti apa gerangan orangnya? Seperti apa kehidupan yang telah dilaluinya? Adakah beliau gembira? Adakah beliau kaya? Adakah dia mempunyai keluarga? Pernahkah beliau bercinta? Apakah perasaannya pada detik yang dirakam di dalam lukisan ini? Apakah perasaan beliau apabila dilukis oleh orang? Adakah dia rela berpakaian sedemikian? Adakah dia rela bergaya dengan sedemikian? Adakah dia kenal dengan pelukisnya? Adakah hubungan mereka baik? Adakah dia suka dengan potret ini?

  • Apakah elemen-elemen lukisan ini yang tidak mematuhi peraturan sudut pandang? Apakah elemen-elemen lain yang tidak munasabah? Secepat mana anda perasan dengan elemen-elemen tersebut? Adakah semua itu satu kesilapan? Jika tidak, kenapa pelukisnya memasukkan elemen-elemen tersebut?

  • Teks yang dilampirkan tidak menjelaskan tentang makna buih-buih itu. Adakah buih-buih itu merupakan suatu elemen penting bagi karya ini? Kenapa? Apakah yang anda fikirkan apabila melihat buih-buih tersebut? Adakah ianya mengingatkan anda akan sesuatu? Kenapa pelukisnya memasukkan buih-buih tersebut ke dalam susun atur ini?