Art Detail | Ilham Gallery
Okir No. VIII
 TAMBAH KE ALBUM
Okir No. VIII
2007

Okir No. VIII merupakan sebuah arca kayu berbentuk menegak yang diukir dengan gubahan bentuk-bentuk semacam piramid dan ombak yang abstrak. Ukiran dalam lukisan ini tertumpu di bahagian permukaan kayu yang gelap dan rata. Terdapat juga satu ukiran lain pada relung yang diwarnakan merah. Arca ini merupakan salah satu karya dari siri karya beliau sendiri iaitu OKIR (2007). Ia mencerminkan titik tolak penjelajahan beliau dalam menghasilkan seni cetakan gaya tiga dimensi bagi mencabar segala kesepakatan yang kemas dipegang oleh seni cetak tradisional. Kalau sebelum ini beliau menghasilkan cetakan bongkah kayu pada kertas, dalam karya ini—serta karya-karya lain dalam siri ini juga—Juhari ingin melihat kemampuan bongkah kayu itu sendiri untuk menjadi produk kesenian si seniman. Kelainan yang berbekas pada kayu—kepasrahannya ketika dinoda tangan seniman, kerelaannya untuk dibasahi warna, serta bentuk-bentuk arca yang terhasil secara alami—memanggil-manggil untuk direnung. Ketelitian seniman ini turut terletak pada cara beliau mempelbagaikan tekanan ketika mengukir dan mencakar kayu sehingga terbit hasilnya. Dengan berbuat sedemikian, Juhari Said turut mencabar pengetahuan para penonton tentang cara karya cetak kontemporari dipamerkan dan diberikan tempat di sesebuah galeri.

Maklumat
Media:
Ukiran kayu dan cat minyak atas kayu
Dimensi:
169 x 31 x 7 cm
Tarikh:
2007
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Juhari Said
Tentang Juhari Said

Juhari Said (l. 1961, Malaysia) merupakan seorang seniman cetak kontemporari yang terkenal dengan seni cetak dan seni ukir kayu gaya hitam putihnya. Selepas menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 1983, beliau menuntut ilmu percetakan Jepun dengan seorang seniman Jepun yang terkenal iaitu Yoshisuke Funasaka. Juhari juga pernah beberapa kali mengadakan pameran solo seperti Death of a Princess (1983), Garden Series (1985), Baju Kurung dan Secawan Kopi (1983), Kilimanjaro in Nagasaki (1995) dan Katak Nak Jadi Lembu (2003). Selepas 23 tahun berkecimpung dalam seni percetakan, pada tahun 2005, Juhari memperluaskan lagi pandangannya dan menghasilkan karya-karya seni yang tidak lagi terhasil dari bongkah kayu tetapi oleh bongkah-bongkah kayu itu sendiri. Dengan memberi tumpuan terhadap bentuk dan permukaan, beliau mula meneroka seni-seni arca dengan mempamerkan bongkah-bongkah kayu berukir dalam pameran solonya, OKIR (2007) di Wei-Ling Gallery. Dengan keterbukaan dan pendekatannya terhadap seni yang bersifat meneroka, Juhari terus menguji cuba pelbagai teknik dan bahan sehingga kepada menggunakan teknik-teknik ukiran kayu pada seramik. 

Sumber: New Straits Times, Wei-Ling Gallery

Bacaan Selanjutnya