Art Detail | Ilham Gallery
Monsoon Moon
 TAMBAH KE ALBUM
Monsoon Moon
1963

Dalam catan ini, bulan dapat dilihat di balik selubung tebal hujan tropika yang dilukis dengan sapuan berus yang laju dan pelbagai tona warna biru dan hijau pekat. Di sebelah kanan catan ini terdapat sebuah objek bulat keputih-putihan yang mewakili bulan yang menjadi tajuk karya ini, tetapi objek di sebelah kiri nampak lebih kabur. Karya ini memaparkan suasana kegelapan yang sebahagian besarnya dipenuhi oleh warna hitam dengan jalur-jalur terang warna-warna primer yang kelihatan samar-samar. Pada beberapa bahagiannya yang paling intens, gubahan abstrak gelap ini menolak warna biru dan hijau ke belakang dan menggantikan bulan sebagai subjek utama catan ini sebelum beransur-ansur menjadi pudar lalu menghilang semula dalam kegelapan. Karya-karya Syed Ahmad Jamal sering diisi dengan imej-imej seperti ini, iaitu imej-imej yang tidak dapat dikaitkan dengan sebarang objek yang biasa tetapi masih berjaya memukau penonton menerusi kesamarannya.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kanvas
Dimensi:
70 x 126 cm
Tarikh:
1963
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Syed Ahmad Jamal
Tentang Syed Ahmad Jamal

Syed Ahmad Jamal (1929–2011) dilahirkan di Johor dan dianggap sebagai pelopor gerakan ekspresionisme abstrak di Malaysia. Beliau memainkan pelbagai peranan, iaitu sebagai pelukis, pendidik seni, pentadbir seni, penulis dan pemerhati budaya, dan selama lebih daripada empat dekad memberi sumbangan besar kepada perkembangan seni moden di negara ini. Beliau dianugerahkan biasiswa Sultan Ibrahim untuk menyambung pelajaran dalam jurusan seni bina di Birmingham School of Architecture (1950–1951) dan kemudiannya mendalami seni lukis di Chelsea School of Art, London (1951–1955). Beliau kemudian belajar selama setahun di Institute of Education, Universiti London dalam bidang pendidikan seni dari tahun 1955 hingga 1956. Pada tahun 1963, beliau menerima geran Fulbright untuk mengikuti pengajian di Art Institute of Chicago dengan pengkhususan dalam bidang arca. Pada tahun 1973, beliau sekali lagi berangkat ke Amerika Syarikat untuk mengikuti kursus peringkat Sarjana dalam jurusan Sejarah Seni di Universiti Hawaii, Honolulu dan pengajian dalam jurusan Falsafah Seni Islam di Universiti Harvard. Setelah kembali ke Malaysia, beliau mengajar di Maktab Perguruan Ilmu Khas selama lebih daripada sepuluh tahun dan kemudiannya dilantik sebagai Pengetua Maktab tersebut. Selepas itu beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Pusat Kebudayaan di Universiti Malaya dan kemudiannya Pengarah Balai Seni Lukis Negara dari tahun 1983 hingga 1991. Syed Ahmad Jamal merupakan satu-satunya artis seni tampak yang setakat ini pernah dikurniakan anugerah Seniman Negara.

Bacaan Selanjutnya

  • Sabapathy, T.K. “Consolidations and Transformations”. In Syed Ahmad Jamal: A Historical Overview 1954–1994, 38–76. Singapore: Nanyang Gallery of Art, 1994. 

  • Sarena Abdullah. “Syed, Ahmad Jamal (1929–2011).” The Routledge Encyclopedia of Modernism: Taylor and Francis, 2016. Accessed Sep. 14, 2021. rem.routledge.com/articles/syed-ahmad-jamal-1929-2011

Bahagian Pembelajaran

  • Terangkan apa yang anda lihat di dalam lukisan ini. Apakah warna-warna yang dapat anda lihat? Adakah sesetengah warnanya lebih dominan daripada warna-warna yang lain? Apakah warna-warna lain yang digunakan di dalam lukisan ini. Apakah bentuk-bentuk yang dapat anda perhatikan di dalam lukisan ini? Apakah bentuk-bentuk yang anda kenal? Bagaimanakah pelukis ini menggunakan cahaya di dalam lukisan ini? Di manakah bahagian-bahagian yang lebih gelap berbanding yang lain? Di manakah bahagian-bahagian yang paling cerah? Bagaimanakah pula dengan cara pelukisnya menyapukan cat pada karya ini? Bolehkah anda lihat tanda-tanda yang terhasil dari berusnya? Apakah corak-corak yang terhasil?

  • Apakah suasana yang terpancar dari lukisan ini? Apakah yang anda rasa? Apakah yang anda ingat?

  • Menurut anda, adakah lukisan ini merupakan lukisan pemandangan? Pemandangan apakah yang anda lihat? Pukul berapakah waktu itu? Bagaimana pula dengan cuaca di situ? Apakah perasaannya kalau anda berada di dalam lukisan tersebut? Apakah bunyi-bunyi bising yang dapat anda dengar? Apakah bau-bau yang dapat anda hidu? Bagaimanakah pula rasa kulit kita? Adakah judul lukisan ini mengubah cara anda melihat lukisan ini?