Art Detail | Ilham Gallery
Payong-Payong
 TAMBAH KE ALBUM
Payong-Payong
1959

Dalam catan figuratif ini kita dapat saksikan kemunculan gaya ekspresionisme yang dinamik dan bertenaga yang bakal mendominasi karya-karya Syed Ahmad Jamal pada dekad berikutnya. Warna biru yang begitu menonjol, dengan pelbagai tona sejuk dan panas, serta warna hijau, jingga, kuning dan merah dilukis dengan sapuan berus yang lancar bagi menghasilkan sebuah pemandangan tempatan yang cukup bertenaga dan meriah. Karya Payong-payong ini memaparkan beberapa orang wanita sedang melakukan kegiatan seharian mereka sambil membawa payung kertas dengan penuh bergaya seperti dalam pertunjukan fesyen. Payung di sini mungkin menggambarkan komodifikasi fesyen pada zaman itu, dan fesyen merupakan satu penanda kepada kemodenan, pergerakan dan kebebasan yang bakal muncul di Malaysia dalam suasana selepas mencapai kemerdekaan.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kanvas
Dimensi:
95cm x 165cm
Tarikh:
1959
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Syed Ahmad Jamal
Tentang Syed Ahmad Jamal

Syed Ahmad Jamal (1929–2011) dilahirkan di Johor dan dianggap sebagai pelopor gerakan ekspresionisme abstrak di Malaysia. Beliau memainkan pelbagai peranan, iaitu sebagai pelukis, pendidik seni, pentadbir seni, penulis dan pemerhati budaya, dan selama lebih daripada empat dekad memberi sumbangan besar kepada perkembangan seni moden di negara ini. Beliau dianugerahkan biasiswa Sultan Ibrahim untuk menyambung pelajaran dalam jurusan seni bina di Birmingham School of Architecture (1950–1951) dan kemudiannya mendalami seni lukis di Chelsea School of Art, London (1951–1955). Beliau kemudian belajar selama setahun di Institute of Education, Universiti London dalam bidang pendidikan seni dari tahun 1955 hingga 1956. Pada tahun 1963, beliau menerima geran Fulbright untuk mengikuti pengajian di Art Institute of Chicago dengan pengkhususan dalam bidang arca. Pada tahun 1973, beliau sekali lagi berangkat ke Amerika Syarikat untuk mengikuti kursus peringkat Sarjana dalam jurusan Sejarah Seni di Universiti Hawaii, Honolulu dan pengajian dalam jurusan Falsafah Seni Islam di Universiti Harvard. Setelah kembali ke Malaysia, beliau mengajar di Maktab Perguruan Ilmu Khas selama lebih daripada sepuluh tahun dan kemudiannya dilantik sebagai Pengetua Maktab tersebut. Selepas itu beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Pusat Kebudayaan di Universiti Malaya dan kemudiannya Pengarah Balai Seni Lukis Negara dari tahun 1983 hingga 1991. Syed Ahmad Jamal merupakan satu-satunya artis seni tampak yang setakat ini pernah dikurniakan anugerah Seniman Negara.

Bacaan Selanjutnya
  • Hasnol J. Saidon, ‘Syed Ahmad Jamal: Pelukis, 55 Years of Collecting Syed Ahmad Jamal’s Works’, Kuala Lumpur: National Art Gallery, 2009

  • T.K. Sabapathy, ‘Merdeka Makes Art, Or Does It?’ Vision and Idea: ReLooking Modern Malaysian Art, ed. T.K. Sabapathy, Kuala Lumpur: National Art Gallery, 1994. 

  • Simon Soon, ‘Notes on GRUP’, Gerak, Rupa, Ubah, Penyataan 1957-1973,  ILHAM Gallery, 2017. 

  • Modern Artists of Malaysia, T.K. Sabapathy, Redza Piyadasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983 

  • Syed Ahmad Jamal : A Historical Overview, 1954 - 1994, T.K. Sabapathy, Nanyang Gallery of Art, 1994

Bahagian Pembelajaran
  • Bayangkan anda berada di dalam lukisan ini. Apakah perasaannya? Apakah bunyi-bunyi yang akan anda dengar? Apakah bau yang akan anda hidu? Apakah rasa pancaran cahaya matahari pada kulit anda? Adakah para wanita ini akan meraikan kedatangan anda? Adakah mereka itu orang baik-baik? Apakah yang sedang mereka bualkan? Ke manakah hala tuju mereka? Ke manakah jalan yang berada di tengah-tengah lukisan tersebut menuju?

  • Seniman ini memilih untuk tidak melukis dengan gaya realistik tetapi mempermudahkan figura-figura di dalam lukisannya. Apakah perincian-perincian yang beliau masukkan? Apakah yang beliau tidak masukkan? Apakah warna-warna yang beliau gunakan? Terdapatkah warna-warna yang lebih dominan daripada yang lain? Kenapa? Penggunaan garis-garis lengkung sangat penting dalam memberikan lukisan ini suatu rasa bergerak. Selain daripada payung tersebut, di manakah lagi seniman ini melakarkan garis lengkung?