Art Detail | Ilham Gallery
Timang
 TAMBAH KE ALBUM
Timang
1964

Karya ini, berjudul Timang (bermaksud memegang anak sambil melambung-lambungkannya sedikit), menghadirkan suasana kemesraan dan memaparkan ekspresi dengan sapuan gestural dan warna-warna asas yang terang untuk mengungkapkan pengalaman yang kuat berhubung dengan keintiman ibu dan anak. Medan-medan warna bergerak dan bercampur baur lalu membentuk sebuah imej abstrak yang mencuar tinggi yang kelihatan lembut gemalai tetapi bertenaga. Karya ini pernah ditampilkan dalam pameran Gerak Rupa Ubur Penyataan (Grup) pada tahun 1967, sebuah pameran penting yang diadakan di Bangunan AIA di Jalan Ampang, Kuala Lumpur yang turut melibatkan Anthony Lau, Cheong Laitong, Ibrahim Hussein, Jolly Koh, Latiff Mohidin dan Yeoh Jin Leng. Syed Ahmad Jamal merupakan salah seorang daripada kelompok tujuh pelukis tersebut yang kini dianggap sebagai generasi pertama pelukis modernis dalam arena seni rupa tempatan.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kanvas
Dimensi:
122 x 91 cm
Tarikh:
1964
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Syed Ahmad Jamal
Tentang Syed Ahmad Jamal

Syed Ahmad Jamal (1929–2011) dilahirkan di Johor dan dianggap sebagai pelopor gerakan ekspresionisme abstrak di Malaysia. Beliau memainkan pelbagai peranan, iaitu sebagai pelukis, pendidik seni, pentadbir seni, penulis dan pemerhati budaya, dan selama lebih daripada empat dekad memberi sumbangan besar kepada perkembangan seni moden di negara ini. Beliau dianugerahkan biasiswa Sultan Ibrahim untuk menyambung pelajaran dalam jurusan seni bina di Birmingham School of Architecture (1950–1951) dan kemudiannya mendalami seni lukis di Chelsea School of Art, London (1951–1955). Beliau kemudian belajar selama setahun di Institute of Education, Universiti London dalam bidang pendidikan seni dari tahun 1955 hingga 1956. Pada tahun 1963, beliau menerima geran Fulbright untuk mengikuti pengajian di Art Institute of Chicago dengan pengkhususan dalam bidang arca. Pada tahun 1973, beliau sekali lagi berangkat ke Amerika Syarikat untuk mengikuti kursus peringkat Sarjana dalam jurusan Sejarah Seni di Universiti Hawaii, Honolulu dan pengajian dalam jurusan Falsafah Seni Islam di Universiti Harvard. Setelah kembali ke Malaysia, beliau mengajar di Maktab Perguruan Ilmu Khas selama lebih daripada sepuluh tahun dan kemudiannya dilantik sebagai Pengetua Maktab tersebut. Selepas itu beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Pusat Kebudayaan di Universiti Malaya dan kemudiannya Pengarah Balai Seni Lukis Negara dari tahun 1983 hingga 1991. Syed Ahmad Jamal merupakan satu-satunya artis seni tampak yang setakat ini pernah dikurniakan anugerah Seniman Negara.

Bacaan Selanjutnya

  • Hasnol J. Saidon, ‘Syed Ahmad Jamal: Pelukis, 55 Years of Collecting Syed Ahmad Jamal’s Works’, Kuala Lumpur: National Art Gallery, 2009

  • Simon Soon, ‘Notes on GRUP’, Gerak, Rupa, Ubah, Penyataan 1957-1973, ILHAM, 2017. 

  • T.K. Sabapathy, ‘Merdeka Makes Art, Or Does It?’ Vision and Idea: ReLooking Modern Malaysian Art, ed. T.K. Sabapathy, Kuala Lumpur: National Art Gallery, 1994. 

  • Redza Piyadasa, ‘The Treatment Of The Local Landscape In Modern Malaysian Art, 1930-1981’, Narratives in Malaysian Art: Imagining Identities, ed. Nur Hanim Khairuddin, Beverly Yong, T.K. Sabapathy, Kuala Lumpur: Rogue Art. 

  • Syed Ahmad Jamal : A Historical Overview, 1954 - 1994, T.K. Sabapathy, Nanyang Gallery of Art, 1994

Bahagian Pembelajaran

  • Terangkan apa yang anda lihat dalam lukisan ini? Terangkan bagaimana seniman ini menggunakan warna? Bagaimanakah cara seniman ini mencontengkan cat? Apakah tanda-tanda yang terhasil? Apakah bentuk-bentuk yang ada dalam lukisan ini? Adakah ianya mengingatkan anda tentang sesuatu? Apakah “angin” atau mood lukisan ini?

  • Judul lukisan ini adalah Timang, yang merujuk kepada menimang anak. Terdapatkah seorang kanak-kanak dalam lukisan tersebut? Siapa lagi yang ada? Apakah elemen-elemen berkaitan tema ini yang digunakan oleh seniman itu? Apakah elemen-elemen yang beliau tidak masukkan? Adakah judulnya telah mengubah cara anda mentafsirkan lukisan ini?