Art Detail | Ilham Gallery
Bentuk dan Kelakuan
 TAMBAH KE ALBUM
Bentuk dan Kelakuan
2020

Bentuk dan Kelakuan merupakan sebuah arca kayu nyatoh yang ditebuk di bahagian permukaan atasnya. Arca ini terdiri daripada dua bongkah kayu panjang yang ditebuk secara tidak sekata mengikut corak papan dam dan disandingkan bersama dari bahagian yang lebih panjang. Terdapat beberapa biji bebola besi karbon yang disusun secara berterabur di atas dan di celah lubang berpetak yang ditebuk. 


Cara susun bebola besi ini boleh diubah-ubah. Ketika arca ini dipamerkan buat pertama kali di pameran solo beliau yang berjudul Interdependence, para pelawat digalakkan untuk berinteraksi dengan arca tersebut dan mencuba cara lain untuk menyusun bebola besi tersebut. Ianya merupakan sebahagian daripada persoalan besar yang ingin beliau jawab iaitu tentang hubungan antara manusia dengan elemen-elemen bukan-manusia dalam ruang galeri, khususnya melalui sentuhan. Matlamat beliau adalah untuk mendekatkan para pelawat dengan bahan-bahan karyanya, baik melalui berat, ketahanan, tekstur, dan memerhatikan perubahan-perubahan dan kesan-kesan yang terus terhasil daripada interaksi tersebut.


Bentuk dan Kelakuan mewakili dua aspek penting dalam kerja seni Lee. Pertama, beliau berminat dengan kuasa agensi yang dimiliki oleh bahan-bahan: bagaimana bentuk-bentuk dan sifat-sifat sesebuah bahan tersebut mempengaruhi hubungan dan tindakan kita terhadapnya. Dalam karya-karya beliau yang lain, perkara ini kebiasaannya melibatkan proses-proses alamiah seperti pengaratan dan hakisan terhadap bahan-bahan semula jadi dan buatan manusia. Dalam karya ini, hubungan antara penonton dengan bahan-bahan adalah lebih langsung dan bersentuhan. Baris-baris yang ditebuk lurus dan ukiran geometri mencerminkan minat seniman ini terhadap reka bentuk Islam. Minat ini terserlah dalam karya-karyanya melalui penggunaan bentuk-bentuk pengulangan, pengabstrakan, corak-corak rumit, dan kerangka-kerangka modular. Kedua-dua aspek ini bertemu di dalam Bentuk dan Kelakuan, sebuah karya yang terhasil daripada ketertiban dan kekacauan, atau bentuk dan peluang yang sudah ditetapkan.

Maklumat
Media:
Kayu nyatoh dan bebola besi karbon
Dimensi:
20 x 25.5 x 235 cm
Tarikh:
2020
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Zulkifli Lee
Tentang Zulkifli Lee

Zulkifli Lee (l. 1978, Malaysia) merupakan seorang seniman rentas disiplin yang berkarya menggunakan medium catan, arca, cetak, dan pemasangan. Lee menamatkan pengajian pada peringkat sarjana dalam bidang Seni Halus dan Teknologi di Universiti Teknologi MARA. Beliau mendapat Anugerah Sarjana Cemerlang pada tahun 2013. Pada tahun 2000, beliau mendapat Ijazah dalam jurusan Seni dan Reka Bentuk (Seni Halus) dari universiti yang sama. Kerja seni Lee meneroka dinamik yang wujud antara bentuk-bentuk peribadi dan bukan-peribadi, khususnya melalui perbezaan dan paradoks yang terhasil antara bahan-bahan semula jadi dan buatan manusia. Dengan menyatukan falsafah estetika Islam bersama prinsip-prinsip dan teknik-teknik semasa, Lee menjadikan kesenian Islam dan orang Melayu sebagai rujukan bagi menghasilkan gubahan yang minimal dan rumit. Beliau sering menggunakan corak-corak geometri yang sistematik dan berirama di samping bermain dengan unsur-unsur kebetulan dan bukan mengawal secara sepenuhnya.


Lee mula mempamerkan karya-karyanya di galeri dan institusi di Malaysia sejak tahun 1999. Sebagai seorang seniman residensi di Rimbun Dahan, beliau mempersembahkan karya-karya yang terilham daripada bahan-bahan semula jadi dan alam binaan seputar kemudahan seni swasta itu semasa pameran solonya di Material, Order & Chance (2017). Pada tahun 2019, beliau mengikuti program residensi seni bersama ACME Studio di London, UK. Pamera berkumpulan terbaru beliau termasuklah S.E.A New Generation (2019) Tang Contemporary, Bangkok, Thailand; Frictional (2018), Pearl Lam Galleries, Singapura; Lingering Manifestations (2018), Pearl Lam Galleries, Singapura; Bintang 5 (2018), Segaris Art Centre, Kuala Lumpur, Malaysia; Locals Only! (2018), TAKSU, Kuala Lumpur, Malaysia; The Unreal Deal (2017), Bank Negara Malaysia Museum dan Art Gallery, Kuala Lumpur, Malaysia; dan Young Contemporary ’16 (2017), National Visual Arts Gallery, Kuala Lumpur, Malaysia. Karya-karya Lee juga terdapat di Khazanah Nasional, Malaysia; Singapore Art Museum (SAM), Singapura; Rimbun Dahan, Malaysia; Four Seasons Kuala Lumpur, Malaysia; dan Banyan Tree Signatures Kuala Lumpur, Malaysia.


Bacaan Selanjutnya