Art Detail | Ilham Gallery
Golden Gate
 TAMBAH KE ALBUM
Golden Gate
2011

Di atas kanvas yang berlatarbelakangkan hutan yang subur dan hijau, beberapa baris rama-rama tanpa warna disusun dengan cara yang sistematik dalam bentukan seperti grid. Pelukis menimba inspirasi daripada memori serta pengalaman beliau melihat rama-rama yang diletakkan dalam bingkai yang ada di kedai-kedai cenderamata untuk pelancong dan juga di ruang-ruang tamu di rumah. “Ia bukan sahaja menceritakan kisah tentang manusia dan kewujudan bersama mereka, tetapi dari beberapa sudut turut menggambarkan keadaan manusia sendiri – perasaan terperangkap yang kita sendiri alami.” Pelukis turut memasukkan beberapa proof bar berwarna yang selalu ditemui dalam proses menyediakan bahan digital. Karya ini, salah sebuah karya dalam siri Golden Gate, memperlihatkan bahawa keseimbangan antara alam semula jadi dan teknologi berada dalam keadaan rapuh dan kita mestilah memastikan persekitaran kita tidak akan terjejas oleh pembangunan dan pemodenan. Ahmad Shukri seorang pengamat budaya kontemporari yang sangat peka dan beliau menggunakan pelbagai simbol dan motif untuk menyampaikan dan mengetengahkan berbagai-bagai perubahan dan isu kemasyarakatan.

Maklumat
Media:
Foto pindahan dan akrilik atas kanvas
Dimensi:
138 x 150 cm
Tarikh:
2011
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Ahmad Shukri Mohamed
Tentang Ahmad Shukri Mohamed

Ahmad Shukri Mohamed (l. 1969, Kota Baru, Kelantan, Malaysia) merupakan seorang pelukis terkenal dan salah seorang ahli serta pengasas MATAHATI, iaitu sebuah kumpulan pelukis yang progresif dan inovatif. Selepas menamatkan pengajian pada tahun 1992, Ahmad menjadi pembantu kepada pelukis senior, Fauzan Omar. Sepanjang tempoh perkembangan awal ini, beliau mencipta kaedah pengkolajannya sendiri dan menggunakan ikon-ikon serta motif-motif sehari-hari yang biasa. Shukri menyampaikan pesan-pesan menerusi karyanya dengan menggunakan pelbagai jenis cat, bentuk huruf dan teknik, dan telah menghasilkan beberapa siri yang terkenal seperti Golden Gate, Text, Postcards from Malaya dan Made in Malaysia.

Bacaan Selanjutnya

Bahagian Pembelajaran

  • Bagaimanakah cara pelukis ini menggunakan warna? Apakah warna-warna yang lebih dominan? Di manakah letaknya warna-warna dominan itu? Apakah maksud warna-warna ini? Bagaimana warna dapat mempengaruhi suasana lukisan ini?

  • Rama-rama sangat mempesonakan. Apakah perasaan anda apabila melihat rama-rama? Apakah makna rama-rama bagi anda? Apakah kenangan-kenangan anda yang berkait rapat dengan rama-rama? Pernahkah anda melukis atau menangkap rama-rama semasa kecil? Adakah anda belajar tentang kitaran hidup seekor rama-rama? Pernahkah anda mengumpul rama-rama? Bagaimana anda terangkan rama-rama yang terdapat di dalam lukisan ini? Bagaimana pula dengan susun letaknya? Bagaimanakah susun letak itu mempengaruhi pentafsiran anda terhadap lukisan tersebut?

  • Lukisan ini boleh dianggap sebagai sebuah perbualan tentang hubungan manusia dan alam. Apakah elemen-elemen berkaitan manusia yang anda lihat? Apakah elemen-elemen berkaitan alam? Adakah lukisan ini optimistik dengan hubungan tersebut?