Art Detail | Ilham Gallery
The Scrotum
 TAMBAH KE ALBUM
The Scrotum
2007

Dalam karya bersifat provokatif ini, sekujur figura yang samar-samar dipaparkan bersembunyi di balik kain nipis bertona sepia seraya mengangkat tangannya untuk menggambarkan organ pembiakan lelaki, hampir dengan bahagian mukanya. Hamir melukis figura pada skala yang lebih besar daripada ukuran sebenar tubuh manusia dan juga imejan berunsur surealisme sebagai cara untuk menarik perhatian penonton sambil menyampaikan komentar sosial berhubung dengan isu-isu identiti dan penapisan.

Maklumat
Media:
Cat minyak dan bitumen atas kanvas
Dimensi:
183 x 122 cm
Tarikh:
2007
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Hamir Soib
Tentang Hamir Soib

Hamir Soib @ Mohamed (l. 1969, Muar, Johor, Malaysia) merupakan seorang pelukis kontemporari Malaysia yang berpengaruh. Beliau menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang Seni Rupa di Institut Teknologi MARA pada tahun 1991. Beliau memulakan kerjaya seninya sebagai pereka bentuk set dan pelukis tirai latar untuk pementasan teater dan produksi filem. Pengalaman ini mempengaruhi karya-karya yang beliau hasilkan selepas itu seperti yang dapat dilihat pada karya ikoniknya bertajuk Pilihan yang memaparkan pencahayan dramatik dan imejan bernaratif di atas kanvas seperti sebuah drama epik. Beliau adalah salah seorang anggota Matahati, sebuah kolektif seni yang progresif, dan beliau menggunakan seninya untuk menghasilkan respons-respons lucu terhadap perkembangan pesat yang melanda bandar, politik dan budaya di negara ini. Antara karya beliau yang terkenal ialah Sepat O Sepat, Auctionland, Wet Cat, Hot Seat dan karya berjudul The Box yang dibuat untuk jenama mewah Louis Vuitton. Pada tahun 2005, Hamir menubuhkan studio peribadinya, Gudang, yang juga menjadi ruang untuk pameran solo pertamanya, Pameran Tunggal. Studio itu kemudiannya digunakan sebagai ruang seni alternatif untuk produksi filem independen dan sebagai ruang residensi untuk pelukis-pelukis muda. 

Bacaan Selanjutnya