Art Detail | Ilham Gallery
Bunohan : Tanah Air
 TAMBAH KE ALBUM
Bunohan : Tanah Air
2015

Paparan dunia masyarakat Melayu oleh Dain Said mengangkat aspek pinggiran menjadi titik fokus dramanya. Projeksi video tiga saluran ini merupakan penelitian khusus tentang perwatakan tiga saudara lelaki yang memegang watak-watak protagonis and antagonis utama di dalam filemnya yang bertajuk Bunohan: Tanah Air. Pada setiap skrin, watak-watak tersebut ditampilkan dengan berlatarbelakangkan pemandangan-pemandangan yang berbeza yang mampu mempertonjolkan sisi-sisi psikologi mereka. Mereka bukan sahaja sosok-sosok yang dipengaruhi oleh persekitaran sekeliling mereka; personaliti mereka juga turut dipertajamkan lagi oleh ruang tempat mereka bergelumang hidup. Perbezaan-perbezaan halus ini mempengaruhi setiap keputusan dan tindak-tanduk yang diambil oleh setiap watak di dalam filem tersebut. Walaupun mereka mempunyai pertalian darah, namun projeksi video di atas tiga skrin yang berasingan itu turut memperlihatkan bahawa ketiga-tiga watak berkenaan terpisah antara satu sama lain, di mana setiap watak tersebut bergelumang dengan dunia peribadi masing-masing yang membawa kesan-kesan moral yang lebih besar.

Maklumat
Media:
Instalasi video 3 saluran
Dimensi:
8 min 23 saat
Tarikh:
2015
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Dain Iskandar Said
Tentang Dain Iskandar Said

Dain Iskandar Said (l. 1957) merupakan seorang pembikin filem. Berkelulusan dari Universiti Westminster di London, Dain berjaya membina namanya dalam industri televisyen, di mana beliau menjadi pengarah untuk beberapa iklan bagi syarikat-syarikat tempatan dan juga di Indonesia, China dan India. Pada 2004, beliau meninggalkan dunia pengiklanan dan mula menghasilkan filem-filem berdurasi panjang dan berbentuk eksperimental. Karya-karya instalasi media beliau julung-julung kali dipertontonkan di acara Biennale of Sydney, di UBC Museum of Anthropology di Vancouver, dan ditempah untuk dipamerkan secara tetap di bangunan Burj al-Arab di Dubai. Pada 2007, beliau menerima biasiswa Asian Public Intellectual dari Nippon Foundation yang membolehkan beliau melakukan kajian mengenai peranan filem dan propaganda dalam sejarah Indonesia. Filem cereka beliau berjudul BUNOHAN (2011) ditayangkan buat pertama kali di Festival Filem Antarabangsa Toronto yang ke-36, dan filem ini menerima pelbagai anugerah di peringkat tempatan dan antarabangsa, termasuklah NETPAC Award di Festival Filem Golden Horse Taipei pada 2011 dan Golden Hanoman di Festival Filem Asia Netpac (JAFF) ke-9 pada 2012.

Sumber: Festival Scope Pro