Art Detail | Ilham Gallery
Run, Malaysia, Run (Video)
 TAMBAH KE ALBUM
Run, Malaysia, Run (Video)
2008

Dihasilkan pada 2009, karya video berjudul Run, Malaysia, Run oleh Vincent Leong menyindir segolongan masyarakat yang boleh dikira mewakili keseluruhan rakyat Malaysia. Mereka ditampilkan sebagai sosok-sosok etnik dengan pakaian tradisional kaum masing-masing. Sosok-sosok itu dipaparkan berada di dalam sebuah bilik bercat putih, sedang berlari berpusing-pusing, tanpa sebarang tujuan yang jelas. Video ini merupakan contoh tipikal ejekan jenaka Vincent terhadap propaganda budaya. Di dalam karya ini, beliau menyindir bagaimana kempen-kempen yang bertujuan mempertingkatkan keharmonian kaum teramat kerap menggunakan bentuk representasi yang terlalu biasa dan stereotaip, lalu akhirnya memperaga dan mengulangi identiti budaya yang sudah pun ditetapkan, dan bukannya menggalakkan ekspresi individu serta pemikiran bebas.

Maklumat
Media:
Instalasi video
Dimensi:
5 min 20 saat (each loop)
Tarikh:
2008
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Vincent Leong
Tentang Vincent Leong

Vincent Leong (l. 1979, Kuala Lumpur) dilihat sebagai penentang tradisi dan perosak yang mengguna karyanya dalam bentuk video, susunan objek dan pemasangan di tapak tertentu untuk merumuskan pengalaman sosial menjadi gugusan struktur dan sistem. Menerusi aspek-aspek kehidupan biasa dan popular, Vincent memeriksa tanggapan sosial yang silap dalam lingkupan budaya yang lebih luas. Beliau mendapat ijazah Sarjana Muda daripada Goldsmiths College, University of London (2000-04), dan dianugerahkan BT Goldsmiths Prize dalam bidang media digital pada 2004. Vincent juga pernah mengikuti beberapa program residensi artis seperti di Asian Cultural Contents Creation Center Workshop, Gwangju, Korea Selatan (2006), Sculpture Square, Singapura (2007), dan Koganecho Bazaar, Yokohama, Jepun (2009). Pada 2012, Vincent menyertai acara No Country: Contemporary Art for South and Southeast Asia anjuran Guggenheim UBS Map Global Art Initiative bertempat di Muzium Guggenheim, New York.

Bahagian Pembelajaran
  • Perhatikan orang-orang yang dipilih oleh seniman ini untuk mewakili Malaysia. Kumpulan masyarakat dan etnik mana yang ada di dalam gambar ini? Berapakah umur mereka? Bagaimanakah mereka berpakaian? Adakah anda rasa mereka memilih untuk berpakaian sedemikian? Fikirkan tentang orang yang anda temui, lihat, dan berinteraksi dalam seminggu. Adakah mereka seperti orang-orang di dalam gambar ini? Apakah perbezaan mereka? Kumpulan masyarakat mana yang tidak dimasukkan ke dalam karya ini? Kenapa mereka tidak dimasukkan sekali?

  • Judul karya ini ialah Run, Malaysia, Run. Apakah makna karya ini? Kenapa orang-orang di dalam karya ini berlari? Adakah mereka sedang melarikan diri dari sesuatu atau sedang berlari ke arah sesuatu? Jelaskan jawapan anda? Apakah cerita tentang Malaysia yang cuba disampaikan oleh Vincent Leong dalam karya ini?

  • Bayangkan anda adalah salah seorang daripada orang-orang di dalam karya ini. Apakah yang anda akan pakai bagi menunjukkan identiti anda? Apakah perasaan anda kalau anda terus-menerus berlari dalam bulatan. Adakah anda akan berhenti berlari?