Art Detail | Ilham Gallery
Cloud Eaters #1
 TAMBAH KE ALBUM
Cloud Eaters #1
2020

Dengan sinar warna biru lembut, lukisan ini memaparkan pemandangan seperti di bawah laut di mana ampai-ampai berapung. Ianya daripada siri karya Planet Shangri-la, yang bermain dengan konsep alam Utopia untuk menandingi keadaan kita kini yang semakin tidak menentu serta isu-isu yang melanda. Siri ini dilhamkan oleh novel cereka James Hilton tahun 1933, ‘The Lost Horizon’, yang merujuk kepada Shangri-La, sebuah tempat khayalan bagaikan sebuah Taman Firdaus di dunia. Lim tertarik dengan gambaran Shangri-La sebagai sebuah Utopia untuk merenung tentang masalah dunia semasa dan dunia Utopia yang berunsur Timur. Unsur ketimuran inilah yang mengilhamkan beliau mengguna wana biru dan putih dalam karyanya, sambil merujuk kepada hiasan biru porselin Cina lama. 


Pemaparan makhluk-makhluk laut dalam lukisan ini menonjolkan kualiti surreal, dari menggantikan liukan sulur dengan bunga hingga ke tekstur seakan awan pada badannya. Suasana ajaib yang dinamik ini digambarkan dengan penuh dramatik menerusi paparan tekstur yang terperinci dan suluhan cahaya dan bayangnya merentasi komposisi, membuat kita sendiri terasa seperti ditarik ke dalam dunia khayalan ini.


Bagi artis, siri lukisan yang memaparkan pemandangan bawah laut yang surreal, mewakili sebuah utopia spekulatif yang tidak dihuni manusia. Artis menjelaskan konsepnya dalam temu ramah bersama akhbar The Star pada tahun 2019: “Kepercayaan saya kepada sifat kemanusiaan ibarat sejernih air di lautan, sebahagiannya tercemar dan musnah teruk, namun bahagian lain masih belum diterokai dan harus dibiarkan begitu, jauh dari manusia.” ‘Pemakan awan’ menawarkan sebuah khayalan dan hasrat ke arah pemupukan dunia yang lain.

Maklumat
Media:
Akrilik atas kanvas
Dimensi:
220 x 200 cm
Tarikh:
2020
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Justin Lim
Tentang Justin Lim

Justin Lim (lahir 1983 Kuala Lumpur, Malaysia) memegang ijazah  Sarjana Seni (Seni Halus) daripada The Open University UK menerusi Kolej Seni Lasalle, Singapura, selepas mendapat Sarjana Muda (Kepujian) Seni Halus (seni lukis). Karyanya telah dipamerkan di dalam dan di luar negara. Residensi seninya termasuk Residensi Artis Visual Malaysia-Australia 2008 di Rimbun Dahan, Malaysia; Vermont Studio Center, Amerika Syarikat (2011 – Asian Artist Fellowship/ Freeman Fellowship) Red Gate Gallery, Beijing; (2013 – Residensi Pelukis Nasional Khazanah) dan The Tasmania College of the Arts, University of Tasmania, Australia (2016 – Residensi Artis Antarabangsa). Beliau kini menetap dan bekerja di Kuala Lumpur, Malaysia.

Sumber: Justin Lim, Richard Koh Fine Art

Bacaan Selanjutnya
Bahagian Pembelajaran

  • Bayangkan anda berada di dalam lukisan ini. Apakah perasaan anda? Bunyi apakah yang akan anda dengar? Bau apakah yang akan anda hidu? Seperti apa rasanya air itu jika terkena pada kulit anda? Adakah anda berasa tenang atau gemuruh? Adakah anda ingin menyentuh obor-obor itu atau tidak? Apakah yang ia akan rasa jika anda menyentuhnya?

  • Di Malaysia, banyak peluang untuk kita melihat kehidupan laut dengan menyelam. Adakah anda pernah menyelam? Apakah yang anda lihat? Adakah anda melihat sebarang kemusnahan yang berlaku kepada kehidupan laut? Apakah sebab-sebab kemusnahan ini? Apakah yang boleh kita lakukan untuk melindungi laut kita dan segala kehidupan di dalamnya? Bolehkah kita melakukan perubahan seorang diri?