Art Detail | Ilham Gallery
Anak Asia
 TAMBAH KE ALBUM
Anak Asia
1983

‘Anak Asia’ sebuah karya montaj foto nasib kanak-kanak semasa Perang Vietnam. Seorang kanak-kanak bertopi tentera tersenyum, di atasnya gambar wajah ketakutan seorang lagi. Di kiri, imej bayi tidak bernyawa diulang beberapa kali. Kanak-kanak, ahli masyarakat paling lemah dan tidak bersalah, menonjol dalam karya artis Malaysia, Nirmala.


Imej-imej tersebut difotokopi dari surat khabar dan dicetak-saring pada kanvas yang dicat. Nirmala memilih cetakan-saring sutera (berbanding kolaj) supaya sapuan berus di bawah imejnya terjelas. Semasa belajar di Amerika Syarikat pada penghujung 60-an, dia terdedah kepada Ekspresionisme Abstrak dan Pop Art; pengaruh kedua-dua stail itu terbukti dalam karyanya sekembalinya ke Malaysia pada awal 70-an. Atas sapuan cat coklat pada kanvas, wajah kanak-kanak ini jelas tertonjol dalam kontras monokrom. Imej fotokopi muka mereka yang kasar membayangkan bagaimana akibat penyalinan imej seperti ini berkali-kali oleh media massa, perasaan kita tidak lagi tersentuh oleh kengerian peperangan.

Maklumat
Media:
Akrilik dan cetak-saring sutera atas kanvas
Dimensi:
60.96 × 81.28cm
Tarikh:
1983
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Nirmala Dutt
Tentang Nirmala Dutt

Nirmala Dutt (lahir 1941, Pulau Pinang, meninggal 2016) tokoh perintis seni kontemporari Malaysia dan seorang daripada segelintir artis wanita dalam persada seni tempatan tahun 1970-an. Pengkaryaannya merangkumi fotografi dokumentari, lukisan, cetakan saring sutera, kolaj dan seni awam (public art). Dia belajar seni bawah bimbingan pelukis figura terkenal Hoessein Enas sebelum melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat dan England. Dibanding dengan beberapa artis Malaysia sezaman dengannya, sanjungan sumbangannya kepada perkembangan seni tempatan amat kurang pada awalnya. Seninya menekan komentar sosial, daripada kekejaman perang di Bosnia atau kemelaratan di kawasan setinggan di negaranya sendiri.. Pada tahun 1973, karya beliau, ‘Statement I’ memenangi Anugerah Utama dalam pertandingan ‘Man and His World’ anjuran Balai Seni Lukis Negara, menjadikannya karya seni pemasangan pertama yang pernah memenangi hadiah seni utama di Malaysia.


Bacaan Selanjutnya
Bahagian Pembelajaran

  • Berapa banyakkah wajah yang anda dapat lihat dalam imej ini? Apakah yang dapat diterangkan melalui raut wajah mereka? Bagaimanakah seniman ini menyusun imej-imej tersebut di dalam karya ini? Bagaimanakah susun letak imej-imej tersebut memberi kesan terhadap suasana dan makna karya ini? Bagaimanakah seniman ini menggunakan nada (tone)? Dapatkah anda kenal pasti bahagian-bahagian cahaya dan bayang? Apakah kesan yang diberikan oleh penggunaan nada (tone) dan warna terhadap suasana karya tersebut?

  • Seniman ini menggunakan gambar-gambar dari surat khabar. Gambar-gambar ini adalah gambar kanak-kanak mangsa perang. Gambar kanak-kanak yang menjadi mangsa perang merupakan gambar yang sangat kuat dan selalunya menjadi gambar perang yang sering diterbitkan. Kenapakah begitu? Dari segi etika, salahkah para wartawan mengambil gambar kanak-kanak di medan perang kemudian menerbitkan gambar-gambar tersebut di dalam surat khabar? Apakah tanggungjawab (jika ada) seseorang jurugambar perang terhadap mangsa-mangsa perang?

  • Tahukah anda bahawa karya ini dihasilkan oleh seniman wanita? Kenapakah jumlah wanita dalam kebanyakan karya seni lebih sedikit berbanding lelaki? Apakah kumpulan-kumpulan masyarakat lain yang tidak disertakan? Apakah kerugiannya? Apakah yang perlu dilakukan oleh galeri atau muzium untuk mengubah perkara itu?