Art Detail | Ilham Gallery
Tsunami LIII
 TAMBAH KE ALBUM
Tsunami LIII
2005

Catan ini merupakan salah sebuah karya dalam siri Tsunami (2004–2005), iaitu siri penting yang terakhir dihasilkan oleh pelukis Malaysia, Nirmala Dutt, sebelum beliau diserang strok yang menyebabkan badannya menjadi semakin lemah. Siri yang mengandungi lebih daripada 30 buah karya ini dihasilkan sebagai respons terhadap bencana tsunami yang berlaku di Lautan India pada tahun 2004. Pada masa itu Nirmala menggagahkan dirinya untuk menonton laporan-laporan berita mengenai tsunami tersebut dan kesan-kesan yang ditinggalkannya meskipun dalam keadaan tubuhnya yang lemah. Saban hari beliau menyaksikan kemusnahan yang menimpa Indonesia, Sri Lanka, India dan Thailand.


Sebelum siri ini, Nirmala telah menghabiskan sebahagian besar kerjaya seninya dengan bertindak sebagai pelukis yang lantang mengkritik pelbagai perkara dahsyat dan mengerikan yang dilakukan oleh manusia seperti Perang Vietnam, rejim apartheid di Afrika Selatan dan penindasan ke atas komuniti-komuniti orang asal  di negaranya sendiri. Tsunami yang melanda Lautan India itu memperlihatkan satu realiti baharu berhubung dengan penderitaan yang dialami manusia dan ia memaksa beliau memandang serius sikap alam semula jadi yang benar-benar apatetik dan tidak berperasaan. Kekacauan ini digambarkan dalam karya-karya catan beliau yang memaparkan ombak besar keabu-abuan yang menggunung dan bergulung-gulung di bawah langit yang tenang. Beliau tidak menggunakan warna biru yang lebih lazim dikaitkan dengan langit tetapi sebaliknya memilih warna biru serulean yang gelap lagi suram sebagai latar belakang untuk kesemua buah catan dalam siri ini. Dalam siri Tsunami ini, unsur provokatif pada karya-karya terdahulu Nirmala digantikan dengan perenungan yang lebih bersifat filosofikal tentang tragedi dan penderitaan. Perenungan ini diresapi dengan kekuatan emosional sikap empati yang dimilikinya.


Maklumat
Media:
Akrilik atas kain linen
Dimensi:
50 × 50 cm
Tarikh:
2005
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Nirmala Dutt
Tentang Nirmala Dutt

Nirmala Dutt (lahir 1941, Pulau Pinang, meninggal 2016) tokoh perintis seni kontemporari Malaysia dan seorang daripada segelintir artis wanita dalam persada seni tempatan tahun 1970-an. Pengkaryaannya merangkumi fotografi dokumentari, lukisan, cetakan saring sutera, kolaj dan seni awam (public art). Dia belajar seni bawah bimbingan pelukis figura terkenal Hoessein Enas sebelum melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat dan England. Dibanding dengan beberapa artis Malaysia sezaman dengannya, sanjungan sumbangannya kepada perkembangan seni tempatan amat kurang pada awalnya. Seninya menekan komentar sosial, daripada kekejaman perang di Bosnia atau kemelaratan di kawasan setinggan di negaranya sendiri.. Pada tahun 1973, karya beliau, ‘Statement I’ memenangi Anugerah Utama dalam pertandingan ‘Man and His World’ anjuran Balai Seni Lukis Negara, menjadikannya karya seni pemasangan pertama yang pernah memenangi hadiah seni utama di Malaysia.


Bacaan Selanjutnya

Bahagian Pembelajaran

  • Perhatikan lukisan ini dengan teliti dan terangkan apa yang anda lihat. Bagaimanakah cara pelukis ini menggunakan cat? Warna-warna apakah yang beliau gunakan? Nirmala Dutt Shanmughalingam menamakan karya ini sebagai Tsunami. Adakah nama ini mengubah cara anda melihat lukisan ini? Apakah aspek-aspek Tsunami yang beliau tunjukkan dalam lukisan ini? Aspek-aspek apakah yang tidak dimasukkan? Apakah perasaan yang beliau ingin kita rasa apabila melihat lukisan ini?

  • Perhatikan karya Anak Asia oleh pelukis yang sama. Kedua-dua karya tersebut menggambarkan bahawa pelukisnya cuba untuk memahami musibah yang menimpa manusia. Karya Anak Asia merupakan sebahagian daripada siri karya yang menceritakan tentang perang Vietnam sementara karya ini bercerita tentang malapetaka Tsunami pada tahun 2004. Bagaimana pelukis ini mengubah cara beliau bertindak balas terhadap malapetaka tersebut? Kenapa? Karya yang manakah lebih memberi kesan emosi kepada anda? Kenapa?

  • Kebanyakan karya seni Nirmala Dutt Shanmughalingam bercirikan ulasan isu sosial seperti ketidakadilan dan perang yang terjadi di seluruh dunia. Bagi pendapat anda, adakah seseorang seniman perlu menggunakan suara mereka untuk bercakap tentang isu-isu politik dan sosial? Mampukah seniman membawa perubahan?