Art Detail | Ilham Gallery
Arising I
 TAMBAH KE ALBUM
Arising I
2004

Karya Arising I ini adalah catan abstrak bernada suram yang memaparkan suasana kemusnahan. Coretan gestural yang dibuat oleh Perng Fey menghasilkan gambaran permukaan bumi yang berbatu-batan dengan berlatarkan langit yang berjalur-jalur. Catan ini dipenuhi warna-warna yang menggambarkan kebinasaan dahsyat: perang tandus, kelabu-hijau selut dan jingga toksik. Beberapa garisan merah nipis di tengah-tengah catan kelihatan bersambung dan membentuk imej seperti baji; ia mengingatkan kita kepada lukisan seni bina. Walau bagaimanapun, garisan-garisan lurus itu kelihatan berbeza daripada pelukisan pemandangan yang membawa gaya impresionisme. Karya ini selari dengan karya-karya yang dibuat oleh beliau dua tahun sebelum itu sewaktu mengikuti program residensi seni di Rimbun Dahan pada tahun 2002. Semasa program residensi itu beliau menghasilkan sebuah siri catan pemandangan yang mengungkapkan rasa sedihnya terhadap kesan pembangunan moden ke atas persekitaran alam semulajadi.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kanvas
Dimensi:
172 × 240 cm
Tarikh:
2004
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Wong Perng Fey
Tentang Wong Perng Fey

Wong Perng Fey (l. 1974, Kuala Lumpur) melanjutkan pengajian dengan biasiswa penuh di Malaysian Institute of Art dan tamat pada tahun 1998. Pada tahun 2002, beliau dipilih menyertai program Residensi Seni Visual Malaysia-Australia selama setahun di Rimbun Dahan, Kuang. Beliau berkarya dengan pelbagai medium, namun karya-karyanya sering mengutarakan tema yang berkait dengan pemandangan dan memori. Karya beliau terdapat dalam koleksi Balai Seni Negara, Bank Negara Malaysia, PETRONAS dan Muzium Seni Singapura. Beliau kini tinggal dan berkarya di Beijing.

Bacaan Selanjutnya

Bahagian Pembelajaran

  • Terangkan apa yang anda lihat dalam lukisan ini? Terangkan tentang cara pelukisnya menggunakan warna. Apakah warna atau warna-warna yang lebih dominan dalam lukisan ini? Terangkan bagaimana cara pelukisnya menggunakan garisan. Bagaimanakah cara berusannya? Terdapatkah bentuk-bentuk yang anda kenal dalam lukisan ini? Lukisan ini mengingatkan anda kepada apa?

  • Judul lukisan ini adalah Arising 1. Apakah maksud judul tersebut? Adakah tajuknya mengubah cara anda mentafsirkan lukisan ini? Apakah suasana yang terpancar dari lukisan ini? Bagaimanakah cara pelukisnya mencipta suasana tersebut?