Art Detail | Ilham Gallery
Gembala G4
 TAMBAH KE ALBUM
Gembala G4
2014

Gembala ialah tajuk siri dan watak utama dalam siri ini. Inspirasinya ialah tongkat gembala - objek bersejarah dan simbolik, selalunya menandakan pemerintahan, perlindungan dan kuasa. Sebuah arca kepala antropomorfik – ciri stail beliau  - dikimpal ke atas struktur berdiri tegak. Sepasang tanduk terletak di kepala, yang  mengikut Raja Shahriman, diperolehi daripada haiwan liar dan bukannya ternakan. 


Karya Raja Shahriman sering menyentuh tema yang lebih besar berkaitan alam, agama, dan masyarakat melalui kaca mata budaya Melayu. Dalam arca dan pemasangan Gembala, beliau menyampaikan kebimbangannya mengenai struktur kuasa yang wujud di peringkat nasional dan global, khususnya krisis kepimpinan sejagat dengan menggunakan persona gembala, ikonografi penjahat, dan menyandingkan kedua-duanya dengan tengkorak binatang liar.

Maklumat
Media:
Logam Tempa & Fabrikasi
Dimensi:
26 x 20 x 77 cm
Tarikh:
2014
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Raja Shahriman
Tentang Raja Shahriman

Raja Shahriman bin Raja Aziddin (lahir 1967, Perak) terkenal dengan pertukangan besinya – mahir mengubah besi buruk menjadi bentuk yang dinamik. Beliau berkhususkan seni arca dalam seninya di Universiti Teknologi Mara (1987 – 1989) dan mengajar seketika di Institut Seni Malaysia, Kuala Lumpur. Pada tahun 1994, beliau pulang ke kampung halaman untuk mempelajari seni membuat keris. Pertukangan besinya kini sudah menjangkau dua dekad dan merangkumi pelbagai siri - Alat Pembunuh (1994), Gerak Tempur (1996), Gerak Tempur Peraliban (1997), Api, Bayangan & Kemenyan (1998), Semangat Besi (2001), Nafas ( 2004) dan Langkah Hulubalang (2006). Raja Shahriman telah menerima Anugerah Kecil di Salon Malaysia pada tahun 1991 dan Anugerah Industri Budaya Asia Pasifik pada tahun 2009. Beliau telah mengadakan pameran solo di Balai Seni Lukis Negara Malaysia, Kuala Lumpur (2004), dan di Galeri Petronas (2009).

Bacaan Selanjutnya

Bahagian Pembelajaran

  • Menurut anda, berapa besarkah arca ini? Arca ini diperbuat daripada apa? Berapa beratkah arca ini? Apakah sifat permukaan arca ini?

  • Perhatikan arca ini. Terangkan bentuk-bentuk yang melahirkan arca tersebut. Adakah arca ini mengingatkan anda terhadap sesuatu? Arca ini diberi nama Shepherd. Apakah kaitan bentuk-bentuk dalam arca ini dengan namanya? Apakah aspek-aspek pengembala yang seniman ini tekankan? Apakah aspek-aspek pengembala yang tidak beliau masukkan? Kenapa?