Art Detail | Ilham Gallery
Homeward Bound
 TAMBAH KE ALBUM
Homeward Bound
2011

Dengan bersaksikan langit biru dan ungu lembut, sekumpulan buruh dengan bakul dipikul di belakang sedang menapak di tengah-tengah padang hijau nan luas—mereka pulang setelah seharian bekerja. Di latar depan, seniman Bidayuh ini melukiskan bunga-bungaan, pokok renek dan ilalang dengan menggunakan kaedah berusan abstrak dan garisan longlai. Penggunaan warna-warna suam dan sejuk memberikan kesimbangan kepada lukisan ini. Dengan menggunakan cat minyak dan akrilik, Raphael Scott Ahbeng terkenal dengan tafsirannya terhadap pemandangan alam semula jadi yang berbentuk abstrak. Penghormatannya terhadap alam dan manusia yang terdapat di tanah pertiwinya iaitu Sarawak, jelas terpancar dalam karya ini.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kanvas
Dimensi:
61 x 119 cm
Tarikh:
2011
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Raphael Scott Ahbeng
Tentang Raphael Scott Ahbeng

Raphael Scott Ahbeng (l. 1939-2015, Bau, Sarawak, Malaysia) merupakan seorang seniman asal Borneo yang sangat disegani. Ketika berumur 16 tahun, beliau terpilih untuk menuntut ilmu dalam bidang seni di United Kingdom di bawah tajaan British Council. Beliau lulus dalam jurusan Art Specialist Teaching di Bath Academy of Arts dan jurusan drama di London pada tahun 1973. Sebelum menjadi seorang seniman, Raphael bertugas sebagai juruhebah RTM, dan pelukis Kartun serta penulis bagi kolum ‘Beng’s Sunday’ di Sarawak Tribune pada tahun 80-an. Beliau mendapat tempat pertama dalam pertandingan kesenian Sarawak Shell Open pada tahun 1959, 1982, dan 1983, dan tempat ketiga dalam pertandingan kesenian Natural Malaysia pada tahun 1991. Beliau juga pernah menjadi penasihat kepada Sarawak Artists Society (1999-2000).

Bacaan Selanjutnya