Art Detail | Ilham Gallery
Routine #2
 TAMBAH KE ALBUM
Routine #2
2020

Dalam catan Routine #2 ini kita melihat pelukis sedang melukis sebuah karya di studionya sementara anak perempuan kecilnya duduk di atas tangga tapak di sebelahnya. Sejak melahirkan anak perempuannya pada tahun 2018, dunia keibuan menjadi satu tema penting dalam karya-karya Fadilah, khususnya pergelutan yang berterusan dialami wanita untuk mengimbangi dunia keibuan dengan kerjaya mereka. Catan ini dilukis dari sebelah tepi dengan bahagian belakang Fadilah menghadap penonton. Beliau berdiri dalam keadaan yang nampak bersahaja tetapi sedikit tidak pasti seraya melukis garis lurus kuning dari atas ke bawah kanvas. Yang menariknya, garis-garis seperti itu hanya muncul dalam karya Fadilah yang memaparkan lukisan-dalam-lukisan; gaya lukisan yang sedang dihasilkan Fadilah dalam karya Routine #2 ini berbeza dengan gaya lebih realistik pada karya Fadilah secara umumnya. Garis kuning cerah itu menggambarkan kehidupan rumah tangga yang terlalu rutin dan berulang-ulang, di samping  pergelutan untuk mencari keseimbangan di antara pelbagai tanggungjawab menjadi ibu dengan sikap beliau yang lebih ekspresif dan emotif sebagai pelukis.

Maklumat
Media:
Cat minyak atas kanvas
Dimensi:
152 × 122 cm
Tarikh:
2020
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Fadilah Karim
Tentang Fadilah Karim

Fadilah Karim (l. 1987, Johor) merupakan seorang pelukis yang amat dikenali menerusi lukisan-lukisan figuratif yang diolah dengan gaya realisme dan warna-warna tanah yang lembut. Karya-karya beliau selalunya bersifat peribadi dan menzahirkan pemikiran serta perasaannya dengan cara yang aneh dan luar biasa. Beberapa tokoh penting dunia seni dan budaya tempatan pernah ditampilkan sebagai model untuk lukisan-lukisan beliau. Fadilah menerima pendidikan seni di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) dan mendapat bimbingan selama dua bulan pada tahun 2019 dari pelukis figuratif Amron Omar. Fadilah sering terlibat dalam pelbagai pesta dan pameran seni di sekitar Asia, termasuklah Art Basel Hong Kong, Art Busan dan Art Jakarta. Pada tahun 2020, Segaris Art Centre mengadakan pameran tinjauan karya-karya Fadilah di White Box, MAPKL @ Publika, Kuala Lumpur.


Bacaan Selanjutnya

Bahagian Pembelajaran

  • Terangkan tentang figura-figura di dalam lukisan ini. Apakah yang sedang mereka lakukan? Apakah hubungan mereka?

  • Adakah wanita lebih susah untuk menjadi seniman terkenal? Berbezakah dunia seni dengan dunia industri lain? Apakah antara cabaran-cabaran yang dihadapi oleh wanita? Apakah cabaran-cabaran yang khususnya dihadapi oleh para ibu? Apakah yang boleh kita lakukan untuk meramaikan lagi wanita dalam dunia seni?

  • Menurut anda, adakah lukisan ini dilukis berpandukan sekeping gambar? Kenapa anda berfikir sedemikian? Kalau ianya berpandukan gambar, kenapa seniman ini menghasilkan salinan dalam bentuk lukisan? Kenapa beliau tidak pamerkan sahaja gambar tersebut? Apakah perubahan yang beliau hasilkan setelah menghasilkan lukisan tersebut?