Artist Detail | Ilham Gallery
Ilse Noor
1941, West Germany
Ilse Noor
1941, West Germany

Ilse Noor (l. 1941, Wipperfuerth, Jerman Barat) merupakan seniman grafik terkemuka yang terkenal kerana karya-karya cetakan goresannya yang berunsur separa autobiografi. Karya-karya Ilse selalunya menampilkan pemandangan, haiwan, bangunan atau benda yang dijalinkan dengan minatnya terhadap sastera, sejarah, dongeng dan legenda Jerman serta Asia Tenggara. Pada usia enam belas tahun beliau belajar reka bentuk grafik pada mulanya di bawah bimbingan W. M. Stucke di Bonn, kemudian di Kolej Seni di Cologne dan akhirnya di Akademi Seni Halus di Munich dari tahun 1963 hingga 1964. Di sana beliau belajar seni grafik dan lukisan di bawah bimbingan Profesor Franz Nagel dan meraih anugerah pertama dalam seni lukis dari Akademi tersebut. Semasa tempoh inilah Ilse bertemu dengan seorang rakyat Malaysia yang menjadi suaminya dan kemudian berhijrah ke Malaysia pada tahun 1974. Ilse telah berpameran dalam lebih daripada 100 buah pameran berkumpulan dan solo di seluruh dunia. Beliau juga pernah menulis tiga buah buku dan menghasilkan ilustrasi untuk poster, majalah dan buku kanak-kanak, termasuklah sebuah buku terbitan Oxford University Press. Beliau menerima tempahan untuk membuat karya dari pelbagai pihak termasuklah Syarikat Shell Malaysia (1985), Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor (1992) dan Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (1997). Sebanyak 24 cetakan goresan bangunan bersejarah yang dihasilkan beliau atas tempahan Syarikat Shell telah diterbitkan sebagai buku bertajuk Warisan Nusa Shell Book of Malaysian Heritage (1991). Buku ini mengandungi penulisan Ilse mengenai pengalamannya dengan berbagai-bagai bangunan serta tempat di Malaysia. Karya beliau terdapat dalam koleksi galeri, muzium dan bank di beberapa negara termasuklah Malaysia, Jerman, Mesir, Perancis dan Bosnia.