Artist Detail | Ilham Gallery
Patrick Ng Kah Onn
1932 - 1989, Malaysia
Patrick Ng Kah Onn
1932 - 1989, Malaysia

Dilahirkan di Kuala Lumpur, Patrick Ng Kah Onn (1932–1989) merupakan salah seorang pelukis perintis seni moden Malaya dan anggota yang turut terlibat dalam penubuhan Wednesday Art Group, kumpulan pelukis yang dimulakan oleh Peter Harris. Karya-karya beliau menampilkan gaya yang menekankan penggunaan garisan dan elemen dekoratif, di samping memaparkan ciri-ciri serta aspek-aspek penting yang wujud di rantau ini dengan pelbagai sensibilitinya – yang paling diingati ialah lukisan ikonik yang beliau hasilkan pada tahun 1958 bertajuk Spirit of The Earth, Sky and Water yang mengutarakan konsep mistikal dan menggabungkan sistem-sistem kepercayaan yang kompleks yang ada di rantau ini. Beliau belajar seni lukis atas usaha sendiri dan mula mendapat perhatian setelah karya beliau berjudul Batek Malaysia memenangi tempat pertama dalam Pertandingan dan Persidangan Seni Asia Tenggara Pertama di Manila pada tahun yang sama Malaysia mencapai kemerdekaan. Pada tahun 1963, beliau mengadakan pameran solonya yang pertama di British Council, Kuala Lumpur. Pameran itu menampilkan lima puluh buah karya yang dilukis dengan cat air, pastel, lilin, arang dan dakwat India berdasarkan lawatan beliau ke India. Beliau menerima biasiswa China-British untuk belajar di Hammersmith College of Art, London pada tahun 1964 dan selepas itu melanjutkan pengajian dalam bidang Seni Halus di Wimbledon and Southlands College of Education, London, pada tahun 1966. Selepas tamat pengajian, beliau tinggal menetap di London dan mengajar di tempat beliau pernah belajar dulu sebelum meninggal dunia pada usia muda pada tahun 1989.