Artist Detail | Ilham Gallery
Sharifah Fatimah Syed Zubir
1948, Malaysia
Sharifah Fatimah Syed Zubir
1948, Malaysia

Sharifah Fatimah Zubir (l. 1948) dilahirkan di Alor Setar, Kedah. Seorang pelukis abstrak yang ulung, beliau terkenal kerana menggunakan secara eksperimental bahan-bahan dan kaedah-kaedah yang tidak konvensional. Beliau merupakan salah seorang daripada kelompok pertama pelajar Seni Halus yang mendaftar di Institut Teknologi Mara pada tahun 1967. Beliau kemudiannya menyambung pengajian di Universiti Reading di England pada tahun 1973 dan memperolehi ijazah dengan kepujian kelas pertama. Di bawah program biasiswa John D Rockefeller III Fund, beliau melanjutkan pengajian di Pratt Institute, New York pada tahun 1976 dan berjaya mendapat ijazah sarjana dalam bidang Seni Halus. Sharifah Fatimah pernah memenangi pelbagai anugerah seni, termasuklah Anugerah Utama dalam pertandingan Salon Malaysia pada tahun 1979 dan Bakat Muda Sezaman pada tahun 1981. Karya beliau telah dipamerkan di Museum of Modern Art, New York, Sharjah Art Museum di Emiriah Arab Bersatu dan Singapura Art Museum. Bagi mengenang sumbangan yang telah dicurahkannya, beliau dianugerahkan gelaran Dato' oleh Sultan Kedah pada tahun 2006. Pada tahun 2017, sempena menyambut ulang tahun ke-50 kerjayanya sebagai pelukis, beliau mengadakan pameran solo bertajuk Song of Eucalyptus di Segaris Art Centre, Kuala Lumpur.