Art Detail | Ilham Gallery
Portrait of the Jungle People / 山芭佬 (San-Ba-Lou)
 TAMBAH KE ALBUM
Portrait of the Jungle People / 山芭佬 (San-Ba-Lou)
2022

“Saya menyambut perayaan Ching Ming sejak kecil, dan saya tahu potret yang ada di batu nisannya bukan gambar sebenar datuk saya. Saya juga dapat tahu kemudiannya bahawa kuburnya kosong. Apa yang kami tahu, Datuk keluar meninggalkan keluarga dan ‘duduk di dalam hutan’ untuk menentang kolonial British. Kami memanggilnya ‘orang hutan’ - San ba lou, sebutan Kantonis untuk gerila Komunis. Sebagai ahli PKM (Parti Komunis Malaya), barangkali Datuk dibunuh oleh pihak British. Tanpa gambarnya, atau juga rekod tentangnya, kita tidak akan tahu potret siapakah yang berada di batu nisan tersebut.” Potret Orang Hutan meneroka sejarah keluarga artis dan juga ‘rizom’ keluarganya demi memperingati tunas susur yang tidak dapat dijejaki atau dipetakan menerusi siri naratif dan pasca-memori. Karya ini menggabungkan jaringan neural bersama model pemprosesan bahasa untuk menghasilkan imej dari teks. Dengan menggabungkan jangkaan kedua model ini, artis dapat menggunakan perkataan biasa (prompt) untuk mengungkapkan konsep dasar, menerusi ruang yang tersembunyi yang dibentuk oleh visi arkib latihan yang bersifat spekulatif dan fabrikasi. Karya ini sebuah usaha di mana manusia dan mesin cuba saling memahami, dan bagaimana proses ini beralih antara pembangunan bersama yang melibatkan keperibumian, identiti dan mitos. Ia datang dari percampuran antara algoritma pembelajaran mesin dan wacana pascakolonial, mempersembahkan naratif Cina-Malaysia sebagai bersifat cair dan halusinasi.

Maklumat
Media:
Video satu saluran
Dimensi:
15 min
Tarikh:
2022
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Eddie Wong
Tentang Eddie Wong

Eddie Wong (l. 1982) seorang artis pelbagai disiplin dan penyelidik, dengan ijazah Sarjana dalam Seni Komputeran (2018–2020) daripada Goldsmiths, University of London. Karya beliau merangkumi pelbagai medium, termasuk penulisan dan ciptaan pengiraan. Penyelidikannya mengkaji hubungan antara naratif, isu-isu kontemporari, dan pengawasan data melalui pembelajaran mesin, video dan instalasi seni. Dalam karyanya, Eddie mengguna mythotechnesis (machinefictioning) sebagai kaedah untuk menerokai kenangan peribadi dan kolektif, menyelidik keadaan pascakolonial, serta unsur-unsur dahsyat dalam sejarah warisan budayanya sendiri. 

Bacaan Selanjutnya