Art Detail | Ilham Gallery
Untitled
 TAMBAH KE ALBUM
Untitled
1992

Catan figuratif separa abstrak oleh Khalil Ibrahim ini menampilkan gambaran berwarna-warni wanita-wanita yang memakai kain batik berwarna terang dan sedang melakukan aktiviti seharian mereka. Diilhamkan oleh zaman kanak-kanak yang dilaluinya ketika di Kelantan, karya ini menunjukkan imej figura manusia dalam bentuk silhuet yang jelas dan garis kontur yang beralun lembut dengan latar belakang merah tua. Warna-warna terang yang mengambil inspirasi daripada seni pop digunakan dalam karya ini untuk menghasilkan kontras dan menggambarkan getaran tenaga serta keindahan mengagumkan yang terdapat pada kehidupan sehari-hari di Pantai Timur.

Maklumat
Media:
Akrilik atas kanvas
Dimensi:
101 x 124.5 cm
Tarikh:
1992
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Khalil Ibrahim
Tentang Khalil Ibrahim

Khalil Ibrahim (lahir 1934, Kelantan — meninggal 2018, Selangor) ialah seorang artis dan pelukis batik berpengaruh yang menyepadukan kepekaan Barat dalam penggunaan bahantara kraf tradisional. Pendidikan seninya bermula di bawah bimbingan Nik Mahmud Idris, yang mengajarnya asas-asas lukisan cat air dan cat minyak. Pada tahun 1960, beliau menerima biasiswa penuh untuk belajar seni di St Martin's School of Art (kini Central St Martin's College of Art and Design) di London, di mana beliau terdedah kepada seni abstrak. Beliau telah mempamer karyanya secara meluas di peringkat tempatan dan antarabangsa, termasuk di Australia, New Zealand, Brazil, Kanada, Amerika Syarikat, dan Jerman. Kasih sayangnya terhadap Pantai Timur wujud sepanjang hayat dan terbukti dalam begitu banyak karyanya yang berkisarkan penduduk dan landskap di situ.

Bacaan Selanjutnya
  • Yee I-Lann, ‘Love Me in My Batik,’ Narratives in Malaysian Art Vol 1: Imaging Identities, e.d. Nur Hanim Khairuddin, Beverly Yong with T.K. Sabapathy, Kuala Lumpur: Rogue Art, 2012. 

  • Khalil Ibrahim https://www.kl-lifestyle.com.my/8141-2/

Bahagian Pembelajaran
  • Bayangkan anda berdiri di dalam lukisan tersebut. Apakah bunyi-bunyi bising yang anda dengar? Hari apakah itu? Apakah yang anda rasa?

  • Susun atur lukisan ini sangat menarik. Tidak ada garis mendatar dan semua kepala perempuan disusun di bahagian atas lukisan tersebut. Kenapakah pelukis berbuat demikian? Apakah kesan-kesannya? Berjayakah beliau melahirkan satu perasaan tentang ruang dan kedalaman?

  • Pelukis menggunakan warna-warna mendatar dalam lukisan ini, dengan mengabstrakkan figura-figura tersebut menjadi bayang-bayang berwarna-warni. Apa kata anda jawab lukisan ini? Potong gambar orang-orang dari gambar-gambar lama anda atau gambar-gambar dari surat khabar atau majalah. Warnakan bayang-bayang tersebut dengan warna-warna terang yang mendatar dan hasilkan susun atur yang menarik dengan melapik-lapik bayangan tersebut dan tampalkannya di sesebuah permukaan.