Art Detail | Ilham Gallery
Mother and Child
 TAMBAH KE ALBUM
Mother and Child
1968

‘Ibu dan Anak’ oleh pelukis Malaysia Khalil Ibrahim ini adalah sebuah karya batik beliau yang luar daripada biasa. Lazimnya Khalil menggambarkan figura dari jauh dan dalam pergerakan. 

Apa yang kita lihat di sini ialah potret ibu dan anak yang sangat mirip antara satu sama lain dengan wajah bulat dan mata kerbau yang besar. Namun dalam pada itu terpapar juga perbezaan dengan  munculnya tanda kehidupan moden dan perubahan generasi dalam gaya pakaian, anak berbaju kemeja Barat berbutang, berbeza daripada pakaian kebaya ibunya. Artis itu sendiri adalah antara segelintir orang di kampung halamannya yang mendapat peluang melanjutkan pelajaran di Barat, dan seterusnya membuatkannya terima unsur moden Barat sepertimana dia mengikut adat tradisi Pantai Timur. Dengan mengguna bahantara kraf batik untuk melukis potret gaya Barat, dia menyandar kepada gabungan kedua-dua budaya ini.

Maklumat
Media:
Batik
Dimensi:
46 × 36 cm
Tarikh:
1968
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Khalil Ibrahim
Tentang Khalil Ibrahim

Khalil Ibrahim (lahir 1934, Kelantan — meninggal 2018, Selangor) ialah seorang artis dan pelukis batik berpengaruh yang menyepadukan kepekaan Barat dalam penggunaan bahantara kraf tradisional. Pendidikan seninya bermula di bawah bimbingan Nik Mahmud Idris, yang mengajarnya asas-asas lukisan cat air dan cat minyak. Pada tahun 1960, beliau menerima biasiswa penuh untuk belajar seni di St Martin's School of Art (kini Central St Martin's College of Art and Design) di London, di mana beliau terdedah kepada seni abstrak. Beliau telah mempamer karyanya secara meluas di peringkat tempatan dan antarabangsa, termasuk di Australia, New Zealand, Brazil, Kanada, Amerika Syarikat, dan Jerman. Kasih sayangnya terhadap Pantai Timur wujud sepanjang hayat dan terbukti dalam begitu banyak karyanya yang berkisarkan penduduk dan landskap di situ.

Bacaan Selanjutnya

Bahagian Pembelajaran

  • Tema ibu dan anak adalah sebuah tema yang sangat biasa bagi para seniman dan banyak karya dalam koleksi Ilham membawa tema sedemikian. Kenapakah begitu? 

  • Bandingkan karya ini dengan lukisan Fadilah Karim. Adakah lukisan Fadilah Karim menawarkan sudut pandang tentang nilai keibuan yang berbeza? Apakah perbezaan-perbezaan utamanya? Apakah sebab-sebab perbezaan dalam sudut pandang ini?