Art Detail | Ilham Gallery
A Beautiful Morning in Kampung
 TAMBAH KE ALBUM
A Beautiful Morning in Kampung
1975

Daun pokok bunga kantan yang panjang dan runcing menutup bahagian kiri lukisan dan menerusi celah-celah daun itu penonton dapat mengintai seorang ibu bersama anaknya yang berdiri di hadapan rumah kampung kayu mereka. Pelukis melukis pokok bunga kantan -- bunganya yang wangi sering digunakan untuk menghias makanan seperti asam laksa – yang terdapat di belakang rumahnya. Seperti gambar foto yang sudah pudar, warna-warna lembut menimbulkan suasana nostalgia. Dengan mengambil ilham daripada persekitaran budaya dan alam sekeliling, pelukis berjaya mengembangkan gaya seni lukisan batiknya sendiri yang cantik dan menarik.

Maklumat
Media:
Batik
Dimensi:
87 x 57.5 cm
Tarikh:
1975
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Koay Soo Kau
Tentang Koay Soo Kau

Koay Soo Kau (l. 1946, Pulau Pinang, Malaysia) merupakan seorang pelukis yang telah berkecimpung dalam bidang seni selama enam dekad. Beliau pernah bertugas sebagai guru di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan menjadi Presiden Penang Teacher’s Art Circle dari tahun 1993 hingga 1997. Kerjayanya sebagai pelukis boleh dibahagikan kepada tiga zaman: karya batiknya yang paling dikenali pada tahun 60-an, catan minyak berunsur realisme-surealisme pada tahun 90-an dan lukisan bergaya impresionisme. Beliau adalah pelukis batik yang belajar sendiri dan menimba ilham daripada pembuat kain batik di pantai timur serta tokoh terkenal lukisan batik seperti Chuah Thean Teng dan Seah Kim Joo.

Bacaan Selanjutnya

Bahagian Pembelajaran

  • Terangkan apa yang anda lihat di dalam lukisan ini. Apakah yang terdapat di latar depannya? Apakah yang terdapat di latar tengah dan latar belakang? Lihat sekali lagi latar depan lukisan tersebut. Kenapa pelukis ini hanya melukis sebuah objek di latar depannya? Apakah kesan-kesannya?

  • Pelukis ini melukis satu babak di sebuah kampung. Menurut anda, adakah beliau merupakan ahli kumpulan masyarakat yang dia lukis itu? Adakah itu kampungnya atau dia hanya seorang pelawat? Adakah beliau kenal dengan para perempuan yang dia lukiskan itu? Kenapa anda merasakan begitu?

  • Apakah elemen-elemen dalam karya ini yang khas Malaysia? Adakah anda rasa ianya mencerminkan negara Malaysia hari ini? Adakah anda rasa bahawa globalisasi dan perkembangan teknologi merupakan suatu perkara positif di Malaysia?