Art Detail | Ilham Gallery
Pasar
 TAMBAH KE ALBUM
Pasar
2003

Lukisan batik Ismail Mat Hussin dari Kelantan ini menggambarkan suasana pasar sibuk di sebuah pekan kecil. Walaupun dipenuhi warna cerah dan ketanahan yang dikaitkan dengan stail pelukis ini, anika warna dan corak pakaian batik pengunjung pasar masih jelas kelihatan. Lukisan itu menawarkan gambaran kehidupan harian di pantai timur laut Semenanjung Tanah Melayu, sambil menampilkan berbagai corak dan cara pemakaian batik. Tiga orang wanita dipapar di latar depan. Wanita di sebelah kiri nampak seperti sedang membantu wanita yang mencangkung untuk menjunjung bakul, seperti wanita di tengah. Dalam bakul ini mungkin buah keranji, kerana ianya senang ditemui di pasar kampung Kelantan. Dari banyak segi, suasana yang dipapar dalam lukisan batik ini menepati suasana kehidupan seharian di perkampungan pantai Malaysia hari ini.

Maklumat
Media:
Batik
Dimensi:
101.5 × 111 cm
Tarikh:
2003
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Ismail Mat Hussin
Tentang Ismail Mat Hussin

Ismail Mat Hussin (lahir 1938 – meninggal 2015, Kelantan) mula belajar seni lukis sejak usia dua belas tahun, mula-mulanya di bawah bimbingan Nik Mahmood di Sekolah Melayu Padang Garong,  kemudian di bawah bimbingan pelukis Khalil Ibrahim, yang mengajarnya lukisan batik. Lukisan beliau terkenal dengan penggunaan warna cerah dan ketanahan untuk merakamkan pemandangan kehidupan seharian kampung di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Di samping melukis, beliau juga pernah bekerja sebagai pereka grafik dan pelukis ilustrasi dengan Syarikat Percetakan Dian di Kota Bharu daripada 1979 hingga 1991. Beliau juga berkelayakan gred V dalam permainan biola dan bekerja sebagai pemuzik sambilan untuk RTM Cawangan Kota Bharu pada akhir 60-an.

Bacaan Selanjutnya
Bahagian Pembelajaran

  • Teliti lukisan tersebut. Apakah petanda-petanda yang ada untuk kita teka tempat adegan ini? Apakah elemen-elemen dalam adegan ini yang melampaui masa? Apakah elemen-elemen dalam adegan ini yang sama dengan tempat-tempat lain di dunia?

  • Pada hari ini, orang lebih gemar untuk membeli-belah di pasaraya berbanding pasar tani. Ini merupakan trend seluruh dunia. Apakah kelebihan dan kekurangan dengan bertambahnya jumlah pasaraya dan kedai-kedai besar ini? Adakah kita perlu mempertahankan pasar tani? Bagaimana?

  • Tiga orang wanita di tengah-tengah lukisan tersebut dilukiskan dengan terperinci. Perincian corak batik pada pakaian mereka adalah sangat jelas. Kenapa pelukis merasakan bahawa perincian ini penting?