Art Detail | Ilham Gallery
Padi Farmers
 TAMBAH KE ALBUM
Padi Farmers
1958

‘Pesawah Padi’ menampilkan ciri-ciri stail Tay Mo-Leong dengan warna terangnya, figura abstrak dan satah gambar rata. Lukisan ini memaparkan sekumpulan wanita sedang mengerjakan padi yang telah dituai. Hiasan pada rambut wanita, sarung batik mereka, dan padi memberikan tekstur pada satah lukisan. Kumpulan wanita di bahagian atas sedang menumbuk padi dengan tangan, cara lama untuk memisah sekamnya. Pinggang dan punggung mereka meliuk mengikut gerak kerja mengiras rentak tarian. Di bahagian bawah lukisan itu, seorang wanita bersendirian membanting padi di dinding kepuk untuk memisah bijirin daripada jerami. Kehadiran seekor kerbau menambah kepada suasana kehidupan kampung.

Maklumat
Media:
Batik
Dimensi:
89 × 67.5 cm
Tarikh:
1958
Kredit:
Koleksi Yayasan ILHAM
Hakcipta:
© Tay Mo-Leong
Tentang Tay Mo-Leong

Tay Mo-Leong (lahir 1938, Pulau Pinang) menerima pendidikan seninya daripada Kolej Normal Taipei Taiwan (kini Universiti Pendidikan Kebangsaan Taipei) pada tahun 1957 dan kemudiannya di Longboat Key Centre for the Arts, Florida, pada tahun 1970. Mula-mula beliau berminat dengan seni batik ialah di Taipei. Sekembalinya ke Malaysia pada 1960, beliau mula meningkatkan kemahiran membatiknya melalui lawatan sambil belajar berulang kali ke Kelantan. Walaupun beliau lebih dikenali dengan karya batiknya, beliau juga mahir melukis dengan cat air, malah berkhidmat sebagai Pengerusi Persatuan Cat Air Pulau Pinang selama dua puluh tahun dari 1985 hingga 2005. Dia juga telah pun mengadakan pameran solo di dalam dan di luar negara, di Jepun, Amerika Syarikat, dan Australia. Pada tahun 2009, Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang memberi penghormatan kepadanya dengan sebuah pameran retrospektif.

Bacaan Selanjutnya

Bahagian Pembelajaran

  • Terangkan apa yang sedang dilakukan oleh para perempuan di dalam lukisan ini. Apakah warna yang paling dominan dalam karya ini? Kenapa pelukisnya memilih warna-warna sedemikian? Apakah kesannya?

  • Perhatikan koleksi lukisan ILHAM sehingga anda temui lukisan-lukisan batik lain. Apakah persamaan dan perbezaan antara karya ini dengan karya-karya batik lain yang anda temui? Adakah ianya ada kaitan dengan mediumnya?